Jumaat, 18 Jun 2021

“Senang begini, suntik dulu baru daftar..” – Lebih 5,000 penduduk Kunak divaksin secara ‘walk-in’

kunak
ANTARA penduduk Kunak, Tawau Sabah yang telah menerima vaksin. - Gambar FB Pejabat Kesihatan Daerah Kunak

KETIKA masih ramai penduduk negara ini yang telah mendaftar masih tertunggu-tunggu tarikh untuk mendapat vaksinasi COVID-19, penduduk di Kunak, Tawau, Sabah sangat beruntung kerana mereka boleh terus ‘walk-in’ untuk mendapatkan suntikan tersebut.

Program vaksinasi secara ‘walk-in’ yang dilaksanakan oleh Pejabat Kesihatan Daerah Kunak sejak 8 Jun lepas mendapat sambutan menggalakkan dari penduduk kawasan tersebut dan sehingga semalam sebanyak 5,670 penduduk telah menerima suntikan vaksin Pfizer-BionNTech.

Menurut salah seorang penerima vaksin, Mohd Nazri Rashid, 32, inisiatif dilaksanakan Pejabat Kesihatan Daerah Kunak itu wajar dipuji kerana dapat mempercepat proses vaksinasi kerana ia mempercepatkan kadar penduduk mendapat suntikan tersebut.

Katanya, tawaran suntikan secara ‘walk-in’ tersebut mampu menangani masalah pendaftaran di MySejahtera bagi penduduk di kawasan tersebut yang mempunyai liputan Internet kurang baik.

“Senang lagi begini (walk-in), suntik dulu baru pasukan kesihatan di sini bantu daftarkan kami. Kawasan rumah saya capaian internet agak lemah, kadang panggilan telefon pun tidak masuk.

“Inisiatif ini sangat bagus dan hari ini saya, ibu bapa serta isteri datang mendapatkan suntikan vaksin untuk dos pertama,” katanya seperti dilaporkan Bernama.com.

Pegawai Kesihatan Daerah Kunan, Dr Izaidi Salman Yazid, berkata jumlah suntikan vaksin yang diberikan menerusi program vaksinasi tanpa pendaftaran awal di Dewan Masyarakat Sri Kunak itu menghampiri sasaran 6,000 daripada 12,142 pendudukan kawasan berkenaan.

“Kita menerima sambutan positif daripada penduduk. Pada hari pertama program ini dilaksanakan, jumlah yang datang untuk mendapatkan vaksinasi hanya 200 individu.

“Bagaimanapun, setiap hari angka itu meningkat, contohnya semalam sebanyak 804 penduduk hadir untuk menerima suntikan berikutan program tersebut akan berakhir hari ini,” katanya.

Katanya, hampir 80 peratus daripada penduduk yang hadir mendapatkan vaksinasi tidak mendaftar menerusi aplikasi MySejahtera.

Menurut Dr Izaidi Salman, pihaknya juga merancang untuk mengendalikan vaksinasi bagi penduduk di kawasan pedalaman yang berdepan isu pengangkutan untuk ke pusat pemberian vaksin (PPV).

“Pada satu tahap nanti, kita akan masuk ke kampung yang jauh di pedalaman dan kita sudah pun mengenal pasti beberapa dewan untuk dijadikan PPV sementara misalnya di Mukim Madai, di Mukim Pangi dan kawasan Tawau ada, selain Semporna,” katanya.

Selain itu, pihaknya turut berterima kasih dengan Pejabat Daerah Kunak, Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat melalui Agen Kesihatan Komuniti dan Jabatan Penerangan dalam membantu membuat hebahan memastikan penduduk hadir untuk untuk mendapat suntikan.

Sementara itu, seorang warga emas Maimunah Akih, 60, walaupun sukar bergerak akibat lumpuh, namun ia bukan penghalang untuknya mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 seperti disarankan kerajaan, apatah lagi berasa golongan warga emas berisiko dan mudah dijangkiti.

“Menantu perempuan memaklumkan boleh terus mendapatkan vaksin di sini tanpa perlu daftar MySejahtera, jadi makcik terus setuju kerana memikirkan sebelum ini ramai datang ke rumah untuk beri bantuan. Apabila sudah divaksin, ia dapat mengurangkan risiko dijangkiti,” katanya.

Tiada ulasan: