Jumaat, 25 Jun 2021

Polis siasat ahli politik anjur majlis tanpa kebenaran MKN

BH ONLINE

MELAKA: Polis Melaka membuka kertas siasatan berhubung laporan mengenai seorang ahli politik di negeri ini yang didakwa menganjurkan program tanpa kebenaran Majlis Keselamatan Negara (MKN) ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Timbalan Ketua Polis Melaka, Senior Asisten Komisioner Razali Abu Samah, berkata ia susulan satu laporan diterima di Balai Polis Tanjung Minyak berhubung program berkenaan yang diadakan mulai jam 10 pagi hingga 5 petang di Taman Rambai Jaya, semalam.

Beliau berkata, pihaknya akan memanggil penganjur untuk memberi keterangan dan menyiapkan kertas siasatan sebelum dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut.

"Polis telah menasihati penganjur lebih awal supaya tidak mengadakan program terbabit, tetapi ia masih diteruskan. Kertas siasatan dibuka mengikut Peraturan 16 Akta Pengawalan Penyakit Berjangkit.

"Kita juga pernah membuka kertas siasatan terhadap penganjur sama sebelum ini kerana menganjurkan program di Bukit Rambai pada 7 Jun lalu," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Razali berkata setakat ini, polis Melaka mengeluarkan 895 kompaun berjumlah RM1.66 juta membabitkan pelbagai kesalahan sejak pelaksanaan PKP 3.0.

Antara kesalahan dilakukan ialah merentas daerah atau negeri tanpa kebenaran membabitkan 328 kes, pusat hiburan (15 kes) dan majikan tidak memastikan pekerja asing menjalani ujian COVID-19 (15 kes).

Kesalahan lain termasuk tidak menjalani perintah kuarantin wajib (individu) sebanyak dua kes, aktiviti menyukarkan penjarakan fizikal (15 kes) dan kesalahan-kesalahan kecil dengan denda berjumlah antara RM1,500 dan RM10,000. - BERNAMA

Tiada ulasan: