Jumaat, 4 Jun 2021

Penyakit LSD pada lembu tidak menjangkiti manusia

KUALA LUMPUR: Penyakit Lumpy Skin Disease (LSD) tidak menjangkiti manusia tetapi menyebabkan produktiviti ternakan itu menurun termasuk kemandulan pada lembu jantan.

Jabatan Perkhidmatan Veterinar dalam kenyataan berkata penyakit itu dikesan menular di beberapa negara Asia termasuk di India, Bangladesh, Nepal, Bhutan, China, Vietnam, Myanmar dan terkini di Thailand.

Katanya penyakit LSD disebabkan oleh virus Poxviridae dan boleh tersebar kepada ternakan lembu melalui gigitan vektor serangga seperti nyamuk dan sengkenit serta boleh berjangkit melalui rembesan air liur dan hidung lembu yang dijangkiti.

Tanda-tanda klinikal pada ternakan lembu terjangkit adalah nodular (benjolan) kulit di sebahagian atau keseluruhan kulit lembu.

"Tiada rawatan khusus untuk penyakit LSD dan ternakan lembu yang terjangkit boleh diberikan rawatan bagi mengelak jangkitan sekunder menerusi pemberian antibiotik, anti-inflamatori dan vitamin.

"Walaupun penyakit LSD tidak menyebabkan kematian yang tinggi, ia memberi kesan ekonomi kepada industri penternakan lembu dan kerugian kepada penternak akibat penurunan pengeluaran susu pada lembu tenusu, penurunan berat badan, keguguran dan kemandulan pada lembu jantan," katanya.

Katanya penyakit LSD tidak zoonotik iaitu tidak menjangkiti manusia.

Sehubungan itu Jabatan Perkhidmatan Veterinar menafikan gambar individu yang tular dengan gejala di bawah mata disebabkan jangkitan LSD.

"Jabatan Perkhidmatan Veterinar juga ingin memaklumkan bahawa berita yang tular berkaitan 'Elakkan membeli daging segar yang dijangkiti penyakit lembu di Perak' adalah tidak benar.

Tiada ulasan: