PETALING JAYA: Kompaun dikenakan polis terhadap pekerja syarikat penghantaran atas kesalahan melepak bersama seorang lagi remaja lelaki di atas motosikal di Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Wangsa Maju di sini.
Ini sekali gus menafikan kenyataan seorang pemilik akaun Twitter mendakwa adiknya dikompaun selepas baru pulang dari kerja ketika berada di lokasi tersebut sehingga tular dalam media sosial.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintenden Ashari Abu Samah berkata, hasil semakan mendapati kejadian berlaku pada 8.30 malam semasa Team Pematuhan Op Covid-19 yang terdiri daripada pihak polis dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) membuat pemantauan di sebuah PPR.
Katanya, dua remaja itu didapati sedang melepak di atas motosikal tanpa menghiraukan kehadiran team terbabit yang sedang membuat pemantauan di kawasan itu.
“Sewaktu disoal oleh pegawai Team Pematuhan, mereka memberikan alasan hanya duduk dan makan roti di parkir itu.
“Team Pematuhan kemudian mengeluarkan saman kompaun mengikut Peraturan 17, Akta 342 di atas kesalahan lain-lain aktiviti yang tidak dibenarkan iaitu (berkumpul),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ashari turut menasihatkan orang ramai untuk bekerjasama mematuhi prosedur operasi standard (SOP) supaya penularan rantaian Covid-19 dapat diputuskan secepat yang mungkin.
Katanya, tindakan tidak bertanggungjawab segelintir masyarakat yang dengan sengaja melanggar SOP dan tidak menjaga penjarakan sosial boleh menyebabkan penularan wabak Covid-19 dalam kalangan masyarakat sukar dibendung.
“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat atau pertanyaan boleh menghubungi Hotline Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju di talian 03-92899222 atau mana-mana balai polis yang berdekatan,” katanya.- UTUSAN ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan