Ibarat lilin membakar diri, Cikgu Haslinda cekal bantu murid-murid yang bernasib malang hadapi peperiksaan sepanjang pandemik.
Itulah yang dilakukan Haslindar Nor Ismail, seorang guru Bahasa Melayu di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Mulia di Kuala Lumpur.
Lebih mesra dipanggil “Cikgu Haslinda”, guru kelas tingkatan 5 Zuhal inilah yang bertanggungjawab membantu murid-murid kelasnya mengharungi Sijil Pelajaran Malaysia 2020 yang dijalankan Februari lalu.
Dalam kalangan semua anak muridnya, ada seorang pelajar yang istimewa di hatinya.
Muhammad Zulfadli Redzwan Sabri atau lebih mesra dipanggil Zul, pelajar ini mencuri perhatian Cikgu Haslinda kerana kepetahannya berkomunikasi dan berjenaka.
Namun di sebalik gelak tawa itu, tersimpan kepayahan hidup yang dihadapi Zul sejak awal usianya.
“Namun, sebagai remaja yang baru menginjak usia muda, Zul selalu tidak menyiapkan kerja rumah. Kerap saya memarahinya. Sedikit demi sedikit saya cuba mendekati anak ini,” kata Haslindar kepada MalaysiaNow.
Apa yang tersimpan dalam jiwa Zul sebelum ini terdedah apabila Haslindar membaca sebuah cerpen yang ditulis anak muridnya itu.
Cerpen tersebut menceritakan bagaimana dia ditinggalkan oleh ibu dan bapanya seawal usia tujuh tahun.
Tersentuh dengan kisah hidup Zul, Haslindar dan guru-guru lain nekad menghulurkan bantuan.
Ketika ini, Zul menetap di Flat Sri Labuan Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur bersama nenek dan bapa saudaranya.
Soal ibu dan bapanya pula sehingga hari ini tiada perkhabaran.
“Dia tiada telefon bimbit semasa PdPR dan sukar untuk saya hubunginya. Saya sebagai guru kelasnya mengumpul dana dan telefon bimbit dapat dibeli dan mudah untuknya belajar dari rumah.
“Kesusahan anak ini juga turut dibantu jiran tetangga. Yuran Persatuan Ibubapa dan Guru (PIBG) telah dibiayai oleh salah seorang jirannya yang tidak mahu namanya didedahkan. Sehingga hari ini, saya dan Zul tidak tahu siapa yang menyumbang yurannya,” kata Haslindar.
Ketika dihubungi, Zul menceritakan cabarannya mengharungi sesi pembelajaran di rumah.
“Semasa perintah kawalan pergerakan(PKP) tahun lepas, saya langsung tak terlibat dalam sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah kerana tiada telefon bimbit. Saya usaha sendiri dan buat rujukan di rumah seorang diri,” katanya yang merupakan murid aliran Sains Rumah Tangga itu.
Keadaan ruang kediaman yang agak kecil menyebabkan Zul belajar secara dalam talian di kebun neneknya.
Zul juga terpaksa meluangkan masa di koridor rumahnya menggunakan meja dan kerusi yang disediakan bapa saudaranya.
Selain itu, dia juga membahagikan masa antara belajar dan membantu neneknya di kebun atau menjual kuih-muih.
“Kadang-kadang saya akan hubungi cikgu Haslinda kerana ingin belajar di sekolah. Duduklah saya seorang diri di sekolah menghadap telefon bimbit,” katanya.
Ditanya mengenai detik menunggu keputusan SPM semalam, Zul memberitahu dia sukar untuk tidur pada malam sebelum keputusan diumumkan.
“Bila dapat tahu 6A, memang gembira kerana tak sangka boleh dapat keputusan sebegitu,” katanya yang ingin melanjutkan pengajian ke institut perguruan.
Sebagai guru, Haslindar berharap agar Zul dapat ditemukan dengan ibu bapanya suatu hari nanti.
“Ketika menerima keputusan SPM semalam, dia menyatakan alangkah baiknya jika ibu bapanya melihat keputusan ini bersama-sama.
“Dia teringin sangat hendak berjumpa ibu bapanya. Dia sedia memaafkan mereka walau apa jua alasan mereka meninggalkannya.”
Tiada ulasan:
Catat Ulasan