Sabtu, 12 Jun 2021

Pelanggan hina agama Islam antara enam ditahan

 Oleh MUHD AFIQ AL-HAFIZ MAT YUSOF

Tangkap layar beberapa keping gambar yang tular di media sosial hari ini.

PETALING JAYA – Seramai enam lelaki warga tempatan terdiri daripada lima penghantar makanan dan seorang pelanggan ditahan selepas terlibat dalam satu pergaduhan melibatkan sensitiviti keagamaan di Sungai Way di sini hari ini.

Difahamkan, kejadian berlaku selepas seorang pelanggan telah menggunakan nama yang menyentuh sensitiviti agama untuk membuat pesanan makanan.

Terdahulu, tular beberapa keping gambar di media sosial yang memaparkan pergaduhan membabitkan sekumpulan penghantar makananan dan seorang pelanggan.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, pihaknya telah menerima laporan polis pada pukul 2.30 petang hari ini daripada seorang penghantar makanan berusia 19 tahun di Balai Polis Sungai Way.

“Pengadu juga telah membuat tangkap layar pesanan tersebut sebelum menularkan di Whatsapp kumpulan penghantar makanan di kawasan tersebut.

“Keadaan ini telah menimbulkan kemarahan kumpulan penghantar makanan itu dan mereka telah pergi ke rumah pelanggan tersebut yang terletak di kawasan Sungai Way dekat sini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, pelanggan lelaki berusia 29 tahun itu telah dipukul oleh kumpulan terbabit sebelum dibawa ke Balai Polis Sungai Way untuk tindakan lanjut.

“Tangkapan telah dibuat ke atas pelanggan dan lima penghantar makanan tersebut yang berusia dalam lingkungan 19 hingga 40 tahun.

“Kita masih mengesan suspek yang masih bebas dan polis menasihatkan kepada masyarakat agar tidak menimbulkan apa-apa isu atau membuat provokasi yang menyentuh mana-mana agama dan bangsa lain,” jelasnya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 298 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menggunakan perkataan yang melukakan perasaan agama seseorang dan juga di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana telah menggunakan kekerasan dalam perhimpunan yang menyalahi undang-undang. – K! ONLINE

Tiada ulasan: