Khamis, 17 Jun 2021

NGO pertahan kajian transgender SUHAKAM, bidas bantahan PAS melampau anti-ilmu

Sekumpulan NGO dan individu berkata, PAS sepatutnya menghormati 
Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang tertinggi negara 
yang memberikan hak dan perlindungan kepada semua warganegara,
 termasuk transgender tanpa diskriminasi.

PETALING JAYA: Sekumpulan NGO dan individu mempertahankan usaha Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) mengkaji keperluan undang-undang khusus bagi mengiktiraf jantina ketiga di negara ini dan membidas bantahan PAS sebagai tindakan melampau anti-ilmu serta intelektual.

Mereka berkata, pengiktirafan terhadap kepelbagaian gender bukan perkara baharu atau produk liberal dan Barat kerana ia wujud di Nusantara sejak dulu lagi.

“Pakistan dan Bangladesh yang mempunyai majoriti penduduk Muslim mengiktiraf gender ketiga sejak 2009 lagi,” kata 130 NGO dan individu terkenal dalam kenyataan bersama hari ini.

“Kami juga ingin mengingatkan bahawa kajian dan penyelidikan adalah perlu dalam menggubal undang-undang dan dasar kerajaan yang akan memberikan manfaat kepada rakyat, termasuk minoriti seksual.”

Kumpulan itu berkata, satu penyelidikan SUHAKAM pada 2019 mendedahkan transgender menghadapi penindasan dan diskriminasi sistemik akibat tiada sistem perundangan yang baik.

Katanya, PAS sepatutnya menghormati Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang tertinggi negara yang memberikan hak dan perlindungan kepada semua warganegara, termasuk transgender tanpa diskriminasi.

Mereka mengingatkan PAS bahawa hukum Islam tidak seharusnya bersifat statik dan tidak berkembang sejajar perkembangan zaman serta dapatan baharu dalam ilmu sains dan perubatan.

“Bahkan perbincangan tentang pengiktirafan terhadap gender ketiga telah dibahaskan ilmuwan Islam di serata dunia.

“Kami berharap penyelidikan ini diteruskan SUHAKAM dan mengingatkan sebarang usaha menghalang penyelidikan dan kajian akan memberi kesan negatif kepada masyarakat.

“Kajian dan penyelidikan akan terus berjalan seiring perkembangan waktu dan ia tidak lain untuk kemaslahatan negara, agama dan rakyat yang akan terkesan dengan setiap perundangan dan dasar yang digubal pemerintah.”

Semalam, PAS menggesa SUHAKAM supaya membatalkan kajian mengenai gender ketiga yang amat jelas bertentangan agama Islam.

Ketua Penerangan PAS Pusat Kamaruzaman Mohamad berkata, ia secara terang-terangan menyalahi fitrah manusia dan budaya, malah bercanggah dengan undang-undang serta Perlembagaan.

Terdahulu SUHAKAM menerusi hantaran di media sosial memaklumkan ia sedang mencari penyelidik untuk mengkaji kebolehlaksanaan undang-undang berhubung isu itu.

Katanya, penyelidikan itu dijangka berjalan selama lima bulan mulai tarikh pelantikan, dengan tarikh tutup permohonan pada 30 Jun ini.

Tiada ulasan: