Rabu, 16 Jun 2021

Isu daftar ahli RELA, KDN tak tolak kemungkinan ada pihak ambil kesempatan

MG-UTARA-15062021_09
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin (tengah) berbual dengan salah seorang warga Rohingya di kawasan rumah pangsa Jalan Terubuk, Seberang Jaya di Pulau Pinang hari ini.

SEBERANG PERAI – Kementerian Dalam Negeri  tidak menolak kemungkinan ada pihak mengambil kesempatan dengan mendaftarkan keahlian Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA)  kerana banyak bantuan yang diberikan kepada jabatan itu sebelum ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, pihaknya akan memperhalusi proses pendaftaran ahli RELA ekoran dakwaan penyalahgunaan data peribadi orang lain yang digunakan tanpa kebenaran.

“Malam tadi saya telah arahkan Ketua Pengarah RELA lihat isu yang dibangkitkan selain melihat semula aspek pendaftaran mereka yang ingin menjadi ahli RELA.

“Kami akan memperhalusi proses pendaftaran selepas ini agar isu yang sama tidak berulang pada masa akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas membuat tinjauan penempatan warga asing di Jalan Terubuk dan Taman Sutera, Seberang Jaya di sini hari ini.

MG-UTARA-15062021_01
Warga Rohingya antara diperiksa dalam tinjauan tersebut.

Dalam tinjauan itu, seramai 163 warga asing diperiksa oleh Penguatkuasa Jabatan Imigresen Pulau Pinang dengan kerjasama pihak polis.

Dalam perkembangan sama, Hamzah menegaskan, pihaknya menunggu laporan siasatan berhubung kebocoran dan penyalahgunaan data peribadi untuk pendaftaran ahli RELA.

“Dalam sehari dua ini kita akan kembali dengan hasil siasatan isu tersebut,” kata Hamzah.

Terdahulu RELA dalam satu kenyataan berkata, pihaknya akan melakukan siasatan dalaman berhubung kes beberapa individu yang mendakwa maklumat peribadi mereka digunakan untuk pendaftaran ahli anggota jabatan itu.

Pendaftaran sebagai anggota RELA itu dibuat secara automatik dalam sistem MyRela tanpa pengetahuan mereka. – MalayisaGazette

Tiada ulasan: