Selasa, 15 Jun 2021

Hanya 22.9 peratus daftar vaksin di Sabah

 Oleh Izwan Abdullah

Pekerja swasta, Aimy Ahmad, 33, membuat pendaftaran vaksinasi di aplikasi MySejahtera. - Foto fail NSTP
Pekerja swasta, Aimy Ahmad, 33, membuat pendaftaran vaksinasi di aplikasi MySejahtera. - Foto fail NSTP

KOTA KINABALU: Hanya 789 pendaftaran baharu penerima vaksin COVID-19 direkodkan hari ini, menjadikan peratusan pendaftaran untuk Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) di Sabah sebanyak 22.9 peratus setakat ini.

Jurucakap COVID-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun, berkata secara keseluruhan peratusan itu mewakili 670,282 orang, masing-masing 601,736 mendaftar melalui MySejahtera, laman sesawang (68,315) dan 231 lagi melalui talian vaksinasi.

Berdasarkan perangkaan Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV), hanya negeri ini merekodkan pendaftaran di bawah 40 peratus, iaitu di belakang Kelantan (42.08 peratus) dan Terengganu (47.95 peratus).

Sementara itu, Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, berkata statistik penduduk yang sudah menerima vaksin menunjukkan seramai 181,522 orang mendapat dos pertama suntikan menerusi PICK Fasa 2, termasuk 8,724 orang hari ini.

"Bagi suntikan dos kedua Fasa 2 pula, seramai 1,254 orang menerima suntikan hari ini, menjadikan jumlah kumulatif setakat ini sebanyak 50,669 orang. Bagi suntikan dos pertama dan kedua PICK Fasa 1, tiada suntikan baharu hari ini.

"Sehubungan itu, kumulatif penerima suntikan bagi kedua-dua dos kekal seramai 60,140 orang dan 53,186 orang," katanya.

Dalam pada itu, Sabah hari ini mencatat 273 kes baharu COVID-19 dengan satu kematian di daerah Beaufort, manakala seramai 390 pesakit dilaporkan sembuh.

Masidi berkata, walaupun kes baharu hari ini menunjukkan penurunan sebanyak 62 kes berbanding 335 kes yang direkodkan semalam, berlaku peningkatan kes di beberapa daerah termasuk di ibu negeri.

Daerah Kota Kinabalu hari ini mencatat kes baharu tertinggi iaitu 86 kes, meningkat 37 kes berbanding semalam disebabkan kes baharu yang disaring menerusi empat kluster sedia ada.

"Sebanyak 57 kes disumbangkan menerusi empat kluster sedia ada dengan 29 kes didominasi oleh Kluster Ocean Blue yang sehingga kini mencatat kumulatif sebanyak 157 kes," katanya.

Tiada ulasan: