BUAT masa ini kedudukan bekalan minyak masak adalah
stabil dan mencukupi, termasuk sebanyak 60,000 metrik tan (mt) sebulan
bersamaan dengan 60 juta polibeg diberikan subsidi kepada 32.7 juta
rakyat Malaysia.
Pengeluaran 60,000 mt itu sudah dibuat
pengiraan, mencukupi untuk kegunaan semua rakyat Malaysia di mana
kerajaan menganggarkan kuantiti itu sangat mencukupi untuk 32.7 juta
rakyat Malaysia dengan kadar penggunaan 1.7kg seorang, setiap bulan.
Susulan
kenaikan harga minyak sawit mentah di pasaran dunia yang sudah mencecah
lebih RM4,500 metrik tan, kerajaan mengeluarkan dana yang lebih untuk
menampung program subsidi Skim Penstabilan harga Minyak Masak (COSS).
Bagi tahun 2021 sebanyak RM600 juta diperuntukkan dengan kelulusan khas berbelanja RM200 juta berbanding peruntukan asal sebanyak RM400 juta. Meskipun kos bertambah, program ini masih diteruskan sehingga sekarang. Tidak dinafikan, dalam proses agihan itu berlaku isu terpencil seperti masalah pekerja, pengilang dan kelewatan penghantaran bekalan daripada pengilang ke premis jualan.
KPDNHEP sering melakukan pemeriksaan harian ke atas empat unit simpanan stok (SKU), malah sejak Januari hingga Mei lalu, sebanyak 38 aduan diterima membabitkan ketidakpuasan hati pengguna terhadap harga minyak masak botol lima kg yang didakwa mahal.
Kedudukan bekalan minyak masak dipantau berdasarkan pemantauan bekalan ke atas sejumlah 2,711 peruncit terpilih daerah (DDR) dilaksanakan di seluruh negara. DDR adalah mekanisme untuk menentukan kedudukan bekalan barangan berjadual di peringkat peruncit terpilih di sesuatu kawasan.
Selain itu, KPDNHEP juga memperincikan tindakan pemantauan bekalan ke atas sejumlah 1,039 pemborong terpilih daerah (DDW) di seluruh negara. Pemantauan DDW adalah sebagai satu mekanisme untuk menentukan penanda aras kedudukan stok bekalan barangan berjadual di peringkat pemborong di sesuatu kawasan.
(*) DATUK ALEXANDER NANTA LINGGI - Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna – HARAKAHDAILY
Tiada ulasan:
Catat Ulasan