Rabu, 2 Jun 2021

2 beradik anak yatim dakwa dicabul, cuba diliwat, polis tahan kakitangan pusat jagaan

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, Anuar Othman, berkata kedua-dua 
mangsa sudah dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh, 
untuk pemeriksaan. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Polis menahan seorang kakitangan pusat jagaan anak yatim di Ipoh, Perak, untuk membantu siasatan kes amang seksual membabitkan dua beradik lelaki berusia 13 dan 10 tahun yang juga penghuni pusat itu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, Anuar Othman, berkata suspek lelaki berusia 35 tahun itu ditahan ketika hadir memberi keterangan Jumaat lalu selepas polis menerima laporan kejadian daripada bapa saudara mangsa.

Katanya, perbuatan jijik suspek terbongkar selepas bapa saudara melihat mangsa dalam keadaan mencurigakan selain berubah sikap dan emosi ketika dibawa bercuti ke rumahnya di Kampung Kepayang, Ipoh.

Menurutnya, apabila ditanya, kedua-dua mangsa memberitahu yang mereka dicabul dan cuba diliwat oleh suspek di beberapa lokasi termasuk di bangunan lama dan asrama baharu pusat jagaan itu serta ketika dibawa bercuti ke Cameron Highlands.

“Kedua-dua mangsa menceritakan kejadian pertama kali dicabul semasa mereka bersama dua lagi rakan diajak bercuti ke Cameron Highlands selama satu bulan pada awal November tahun lalu.

“Kejadian itu kemudian berlarutan banyak kali dan kali terakhir pada April lepas apabila mangsa cuba diliwat suspek di sebuah rumah di Bandar Seri Botani, Ipoh,” katanya menurut laporan Sinar Harian.

Anuar berkata, kedua-dua mangsa sudah dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh, untuk pemeriksaan.

Katanya, polis sudah mendapatkan perintah tahanan reman terhadap suspek selama lima hari bermula Sabtu lepas sebelum disambung tiga hari lagi sehingga 5 Jun ini untuk siasatan mengikut Seksyen 14 (a) dan (d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

“Selama tempoh kejadian itu, kedua-dua mangsa tidak pernah menceritakannya kepada sesiapa kecuali bapa saudara mereka,” katanya.

Tiada ulasan: