Selasa, 24 November 2020

Zoo Negara tolak dakwaan salah urus, kecurian

Zoo Negara dilaporkan hanya mempunyai dana yang mampu bertahan beberapa 
bulan saja.

PETALING JAYA: Zoo Negara menolak dakwaan salah pengurusan yang dibuat bekas veterinarnya yang mendakwa mereka tahu mengenai pengambilan lebihan pembayaran makanan, amalan pilih kasih pekerja dan menjual tiket curi ketika mereka berkhidmat di sana.

Dakwaan itu timbul susulan laporan mendakwa zoo yang diuruskan Persatuan Zoologi Malaysia itu hanya mempunyai dana untuk beberapa bulan saja.

Rosly @ Rahmat Ahmat Lana, timbalan presiden persatuan itu, berkata Zoo Negara bergelut untuk menarik aliran pengunjung stabil sejak 2 dekad lalu.

Beliau berkata, kebangkitan internet sebagai sumber maklumat dan hiburan, serta peningkatan jumlah tarikan seperti pusat beli-belah dan taman tema di Lembah Klang menjejaskan pendapatan zoo.

Beliau menyifatkan dakwaan pilih kasih dalam kalangan pekerja akan mendapat status “kisah berdasarkan khabar angin seolah-olah benar”.

Rosly berkata, Zoo Negara mempunyai dasar yang membolehkan semua pekerja tetap mendapat kenaikan gaji tahunan 5 hingga 6% berdasarkan prestasi zoo, dengan kenaikan pangkat berdasarkan pencapaian tahunan pekerja.

Mengenai pembelian makanan, katanya, terdapat sebuah jawatankuasa pemerolehan khas untuk mendapatkan bekalan daripada vendor mempunyai reputasi baik. “Kecurian tidak mungkin berlaku.”

Mengenai penjualan tiket curi yang disifatkannya “tidak berasas,” Rosly berkata, zoo itu kini mempunyai sistem tiket automatik yang dipantau pasukan kewangan setiap hari.

Dakwaan salah pengurusan Zoo Negara dibangkitkan bekas veterinar, S Vellayan dan Reza Singam dalam wawancara dengan FMT. Mereka menggesa rombakan menyeluruh ke atas pengurusan zoo itu dan diambil alih sebuah unit kerajaan.

Mereka turut menggesa laporan tahunan terperinci diterbitkan, seperti sebelum ini.

Bagaimanapun, Rosly berkata, Persatuan Zoologi Malaysia tidak perlu mendedahkan maklumat kewangan kepada orang ramai, sebaliknya hanya mendaftarkan ahli dalam mesyuarat tahunan mereka.

Mengenai masa depan zoo itu, Rosly berkata, pihaknya sedang berunding dengan pihak berkepentingan relevan seperti Kementerian Tenaga dan Sumber Asli, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung serta ahli Persatuan Taman Zoologi dan Aquaria untuk merangka pelan jangka pendek, sederhana serta panjang.

“Sehingga itu, pelbagai inisiatif pengoptimuman kos dilaksanakan untuk mengurangkan kos operasi harian kami dengan mengenal pasti peluang tepat dan membuat keputusan berdasarkan data.”

Tiada ulasan: