Selasa, 24 November 2020

Adun Sarawak dikritik galak penjualan hidupan liar

Undang-undang membenarkan hidupan liar tertentu, termasuk babi hutan diburu, tetapi 
hanya untuk penggunaan sendiri, bukannya dijual kepada pihak lain. (Gambar AFP)

KUCHING: Seorang Adun Sarawak dikritik kerana tidak menyokong undang-undang perlindungan hidupan liar selepas beliau menggesa kelonggaran diberikan kepada penduduk kampung yang didapati menjual hidupan liar.

Tabung Alam Sedunia (WWF) Malaysia berkata, wakil rakyat patut menasihatkan penduduk luar bandar melindungi hidupan liar, bukannya menggalakkan mereka menjual hidupan liar.

Ketua Program Pemuliharaan Sarawak WWF-Malaysia, Jason Hon berkata, pihak berkuasa penguatkuasaan wajib menegakkan Ordinan Perlindungan Hidupan Liar Sarawak yang digubal pada 1988 untuk mengurangkan perdagangan dan penyeludupan hidupan liar.

Beliau berkata, Adun Bukit Goram, Jefferson Jamit salah dalam menggesa pihak berkuasa penguatkuasaan tidak mengambil tindakan terhadap penduduk luar bandar yang didapati menjual hidupan liar.

Jason Hon.

Katanya, Adun itu sebaliknya perlu mengadakan perbincangan untuk mencari pendekatan lain yang sah bagi mereka menjana pendapatan.

Adun terbabit dilaporkan berkata, penjualan daging babi hutan adalah salah satu sumber pendapatan bagi penduduk luar bandar di Kapit.

Hon berkata, undang-undang Sarawak itu digubal untuk menghalang kepupusan hidupan liar.

“Jika dikuatkuasakan dengan baik, undang-undang itu akan membolehkan hidupan liar dan ekosistem semula jadi berkembang. Ia memastikan masyarakat tempatan terus mempunyai akses kepada sumber makanan semula jadi dan menghalang orang luar mengaut keuntungan.”

Katanya, masyarakat tempatan boleh terus memburu spesies tidak dilindungi seperti babi hutan (tanpa permit) untuk kegunaan sendiri.

Oswald Braken Tisen.

Bagaimanapun, undang-undang itu dengan jelas menyatakan mereka tidak boleh menjual sebarang hidupan liar, sama ada hidup atau mati, atau bahagiannya tanpa permit.

“Walaupun ordinan itu dikuatkuasakan lebih 20 tahun lepas, perdagangan haram hidupan liar belum dihapuskan sepenuhnya.”

Pengurus Besar Perbadanan Perhutanan Sarawak, Oswald Braken Tisen berkata, undang-undang itu terpakai ke atas semua orang tanpa mengira latar belakang etnik atau lokasi mereka.

Tiada ulasan: