Sabtu, 21 November 2020

Tiga bayi 'istimewa' terima penerbangan ihsan TUDM

Farhana Joni
Tiga bayi 'istimewa' terima penerbangan ihsan TUDM
Pesawat angkut A400M milik TUDM yang membawa tiga bayi 'istimewa' 
selamat tiba di Pangkalan Udara Subang, Selangor. - Gambar TUDM
 
KUALA LUMPUR: Bukan hanya menjaga keselamatan tanah air agar terus aman, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) turut membantu rakyat Malaysia yang memerlukan.
 
Antara yang menerima bantuan tersebut ialah tiga bayi yang mengalami masalah jantung yang memerlukan rawatan segera di Institut Jantung Negara (IJN) dan Hospital Gleneagles.
 
TUDM dalam satu kenyataan pada Jumaat berkata, penerbangan ihsan itu melibatkan pesawat angkut A400M dari Pangkalan Udara Subang, Selangor ke Pangkalan Udara Kuching, Sarawak.
 
Tiga ambulans bersedia di Pangkalan Udara Subang, Selangor untuk membawa tiga bayi 'istimewa' ke IJN dan Hospital Hospital Gleneagles.
Tiga ambulans bersedia di Pangkalan Udara Subang, Selangor
 untuk membawa tiga bayi 'istimewa' ke IJN dan Hospital 
Hospital Gleneagles.
 
"Penerbangan ihsan ini dilaksanakan oleh TUDM bagi membolehkan pesakit mendapatkan rawatan dengan segera dan tertakluk kepada keadaan-keadaan tertentu terutama nasihat dari pegawai perubatan.
 
"Ini memperlihatkan keprihatinan dan komitmen TUDM dalam melunaskan tanggungjawab sosial, malahan turut membuktikan bahawa TUDM sentiasa siap siaga untuk mengoperasikan aset-asetnya pada masa yang diperlukan," katanya.
 
Pesawat terbabit diterbangkan oleh Mejar Mohd Shafique Mohd Amin dan dibantu oleh beberapa pembantu juruterbang dan pegawai lain.
 
Turut mengiringi bayi dalam penerbangan tersebut adalah dua pegawai perubatan, dua jururawat serta ibu bayi masing-masing.
 
Tiga bayi yang mengalami masalah jantung dibawa menerusi penerbangan ihsan TUDM pada Jumaat.
Tiga bayi yang mengalami masalah jantung dibawa menerusi 
penerbangan ihsan TUDM pada Jumaat.
 
Terdahulu, TUDM berkata, pesawat A400M ini juga turut melaksanakan penerbangan "logistic comm" membawa Tim Mobilisasi dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta peralatan perubatan kementerian berkenaan.
 
Selain itu, Badan Bukan Kerajaan (NGO) daripada Academy Medicine Of Malaysia dan Yayasan Amal Malaysia yang dihantar ke Sabah iaitu ke Tawau dan Kota Kinabalu, Sabah juga pernah menggunakan perkhidmatan pesawat terbabit.

Tiada ulasan: