Sabtu, 21 November 2020

Melaka pastikan projek tebatan banjir di Merlimau dilaksanakan tahun depan

Bernama
Melaka pastikan projek tebatan banjir di Merlimau dilaksanakan tahun depan
Sulaiman (kanan) bertanya khabar salah seorang mangsa banjir ketika melawat 
pusat pemindahan sementara di SMK Dang Anum di Merlimau, 20 Nov, 2020. --
fotoBERNAMA
 
JASIN: Kerajaan negeri Melaka akan memastikan projek tebatan banjir di Merlimau di sini khusus bagi penyelesaian banjir jangka panjang, dilaksanakan selewat-lewatnya tahun depan.
 
Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata peruntukan RM36 juta bagi melaksanakan projek tebatan banjir itu telah diluluskan oleh Kerajaan Persekutuan pada 2017, namun sehingga kini projek berkenaan masih belum dilaksanakan.
 
Beliau berkata pihaknya dimaklumkan bahawa projek itu membabitkan pembinaan dua kolam takungan dan kini berada dalam fasa akhir reka bentuk serta proses pengambilan tanah.
 
"Bagi saya, projek ini agak terlalu lama dan kelewatannya mungkin disebabkan ketidakcekapan pihak konsultan, namun kerajaan negeri akan bertemu dan berunding terus dengan mereka bagi memastikan ia dapat direalisasikan dengan segera.
 
"Berikutan fenomena cuaca yang tidak menentu, kita bimbang ia akan menyukarkan penduduk di sekitarnya yang kerap berdepan dengan masalah banjir kilat," katanya kepada pemberita selepas melawat pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dang Anum, di sini, semalam.
 
BACA: Lebih 25 tahun tidak tidur lena apabila hujan lebat - Mangsa banjir
BACA: Banjir: Bakal pengantin 'berendam' air mata
 
Sementara itu, Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Melaka Lt Kol (PA) Effendy Ali berkata jumlah mangsa banjir di daerah Jasin dan Alor Gajah meningkat kepada 252 orang daripada 62 keluarga.
 
Effendy yang juga Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana negeri berkata daripada jumlah itu, 75 mangsa ditempatkan di PPS SMK Dang Anum dan 123 ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Tehel yang kedua-duanya terletak di Jasin.
 
"Bagi daerah Alor Gajah pula, PPS SK Durian Tunggal menempatkan 54 mangsa, setakat pukul 9.00 malam ini," katanya dalam kenyataan di sini semalam.-- BERNAMA

Tiada ulasan: