Rabu, 18 November 2020

Pengendali zoo tidak wajar terus bergantung kepada kerajaan, kata menteri

Menteri Tenaga dan Sumber Asli Shamsul Anuar Nasarah berkata beberapa tindakan 
jangka pendek juga sudah dilaksanakan antaranya memperuntukkan RM10.2 juta bawah 
program Dana Prihatin Kebajikan Hidupan Liar kepada ZPT terjejas.

PETALING JAYA: Pengendali zoo dan pameran tetap (ZPT) di negara ini tidak sewajarnya terus bergantung kepada kerajaan bagi meneruskan kelangsungan operasi perniagaan.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli Shamsul Anuar Nasarah berkata, ini kerana kerajaan menerusi kementeriannya sudah melaksanakan pelbagai inisiatif untuk membantu entiti perniagaan berkenaan yang terkesan akibat pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) sejak Mac lalu.

“Sebenarnya KeTSA (Kementerian Tenaga dan Sumber Asli) melalui Jabatan Perhilitan sudah menyalurkan Dana Prihatin Kebajikan Hidupan Liar sebanyak RM1.3 juta kepada Zoo Negara pada Jun lalu untuk menampung kos menyediakan bekalan makanan kepada hidupan liar bagi menghadapi kesan pandemik Covid-19,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bukan itu sahaja, Shamsul berkata, beberapa tindakan jangka pendek juga sudah dilaksanakan antaranya memperuntukkan sebanyak RM10.2 juta bawah program Dana Prihatin Kebajikan Hidupan Liar kepada ZPT yang terjejas.

“Sebanyak 21 ZPT mengemukakan permohonan dan dana disalurkan secara berperingkat bermula Mei lalu,” katanya.

Beliau berkata, bagi tindakan jangka panjang KeTSA melalui Jabatan Perhilitan sudah mengadakan sesi konsultasi dengan Malaysian Association of Zoological Park dan Aquaria (MAZPA) serta ZPT.

“Ia bertujuan mengkaji semula peraturan berkaitan pengendalian ZPT bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2020 (Akta 716) bagi memastikan ZPT terus berdaya tahan dan kebajikan hidupan liar terpelihara.

“Strategi penambahbaikan akan digariskan dalam model baharu ZPT dan diterima pakai selepas dimuktamadkan. Perkara ini penting kerana pengoperasian ZPT bukan sahaja memerlukan kepakaran tetapi melibatkan perbelanjaan pembangunan dan operasi yang tinggi,” katanya.

Media tempatan hari ini melaporkan Zoo Negara kembali berdepan krisis kewangan teruk susulan gelombang ke-3 pandemik Covid-19, apabila tabung kecemasan pengurusan zoo itu mampu bertahan kira-kira 3 bulan sahaja lagi.

Difahamkan, kos operasi purata Zoo Negara mencecah RM1 juta sebulan meliputi pembayaran gaji, keperluan makanan, bil elektrik dan air.

Tiada ulasan: