NEW YORK: Bekas perdana menteri, Najib Razak meminta mahkamah Amerika Syarikat (AS) membenarkan peguamnya mendapatkan dokumen dan keterangan daripada Goldman Sachs Group Inc bagi membantu pembelaannya terhadap pertuduhan jenayah di Malaysia berhubung skandal 1MDB.
Dalam pemfailan di Mahkamah Persekutuan di Manhattan pada Selasa, Najib memohon perintah mahkamah untuk membenarkan peguamnya menyerahkan sepina kepada syarikat itu dan bekas pengerusi Asia Tenggaranya, Tim Leissner.
Leissner mengaku bersalah di Mahkamah Persekutuan Brooklyn di New York, dan mengaku merasuah pegawai di Malaysia serta Emiriah Arab Bersatu bagi mendapatkan tawaran bon untuk bank itu.
Goldman Sachs bersetuju membayar lebih AS$5 bilion, termasuk denda sebanyak AS$2.3 bilion di AS, dan mengemukakan pengakuan bersalah pertama atas peranannya dalam skandal tersebut.
Jurucakap Goldman, Andrew Williams bagaimanapun tidak memberi respons segera kepada e-mel untuk mengulas permintaan Najib.
Henry Mazurek, peguam Leissner enggan mengulas pemfailan tersebut.
Najib dijatuhkan hukuman penjara 12 tahun di Malaysia pada Julai lalu kerana penyalahgunaan kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang berkaitan RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd, bekas anak syarikat 1MDB, tetapi beliau dibenarkan diikat jamin dan sedang merayu untuk sabitan itu.
Dalam permintaannya, beliau berkata, Goldman dan Leissner mungkin mempunyai dokumen atau keterangan yang menunjukkan pegawai 1MDB terlibat dalam skim untuk menipu dana pelaburan milik negara itu, menerima sogokan atau rasuah dan kini melibatkannya secara salah untuk lari daripada tanggungjawab.
“Leissner dan rakan konspirasinya mengambil banyak langkah untuk menutup jejak wang itu,” kata Najib dalam dokumen mahkamah.
Katanya, beliau diperdaya mengenai asal usul dana yang masuk ke akaunnya dan percaya ia adalah sumbangan politik daripada Raja Abdullah dari Arab Saudi.
“Usaha ini meliputi benua dan pelbagai bidang kuasa, termasuk penggunaan pelbagai syarikat palsu dan melibatkan ramai individu.”
Jabatan Kehakiman AS berkata, kira-kira AS$2.7 bilion daripada AS$6.5 bilion yang Goldman Sachs bantu kumpul untuk 1MDB dicuri individu ada kaitan dengan Najib dan dilencongkan untuk rasuah, pembelian kapal layar mewah, karya seni dan seumpamanya.
Antara mereka yang dituduh ialah ahli perniagaan Low Taek Jho, yang lebih dikenali sebagai Jho Low, disyaki dalang penipuan itu, yang menafikan beliau melakukan sebarang kesalahan dan masih bebas.
Leissner pada Selasa meminta ibu bapanya menjamin bon berjumlah AS$20 juta. Beliau dijadual dijatuhkan hukuman pada Januari.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan