Raja Noraina Raja Rahim
Kuala Lumpur: Angka menggusarkan apabila Polis Diraja Malaysia (PDRM) merekodkan peningkatan lebih 90 peratus bagi kes berita palsu pada tahun ini berbanding tahun lalu.
Timbalan Pengarah (Siasatan dan Perundangan) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Deputi Komisioner Mior Faridalathrash Wahid berkata, sebanyak 196 kertas siasatan dibuka berhubung penyebaran berita palsu sejak Januari hingga September tahun ini berbanding hanya 10 kertas siasatan bagi tempoh sama tahun lalu.
Beliau berkata, sebanyak 17 kes sudah pun dibicarakan di mahkamah sepanjang tempoh itu tahun ini manakala tiada kes yang dibawa ke mahkamah tahun lalu.
Katanya, 122 kes masih lagi dalam siasatan manakala 57 kes tiada tindakan lanjut (NFA) pada tahun ini.
"Peningkatan ketara itu amat membimbangkan. Kebanyakan kertas siasatan penyebaran berita palsu yang dibuka adalah berkaitan pandemik Covid-19 yang melanda dunia ketika ini.
"Semua mereka yang mengeluarkan berita-berita palsu ini kita boleh dakwa mengikut Seksyen 505 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.
"Kita boleh ambil tindakan dan boleh dakwa mereka," katanya kepada Harian Metro.
Beliau berkata, orang ramai perlu menilai sesuatu maklumat yang diterima itu terlebih dahulu sebelum menyebarkannya.
"Jika kita dapati maklumat diterima itu tidak logik, tidak perlulah disebarkan.
"Kebanyakan kes yang kita siasat, kita dapati mereka ada rekod masalah mental. Kadang-kadang ada juga yang berasa seronok dan mahu jadi yang pertama, dapat sahaja berita terus sebar tanpa mengesahkan benar atau tidak," katanya.
Katanya, individu yang berkongsi berita palsu walaupun berita itu diterima daripada pihak lain, tetap tidak terkecuali daripada dikenakan tindakan undang-undang.
Beliau menasihati orang ramai supaya menyemak dahulu berita diterima sahih dan tepat sebelum dikongsikan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan