KOTA BHARU: Syarikat kosmetik, EY Beauty Empire Sdn. Bhd. (EY Beauty Empire) menafikan mempunyai kaitan dengan individu bergelar Datuk Seri yang ditahan kerana disyaki menjadi dalang kegiatan pengedaran dadah baru-baru ini.
Pengasas dan Pengarah Urusan EY Beauty Empire, Zalina Zahari menegaskan, dakwaan penglibatannya dalam kes itu yang tular di media sosial tidak benar sama sekali dan merupakan satu fitnah.
Sehubungan itu, beliau tampil membuat laporan di Balai Polis Kota Bharu di sini hari ini bagi menafikan penglibatannya.
Menurut Zalina, EY Beauty Empire merupakan syarikat milik persendirian menggunakan modal sendiri dan tiada kaitan langsung dengan ‘Datuk Seri’ terbabit namun mengakui mengenalinya sejak Julai lalu.
Katanya, penglibatan lelaki itu bersama isterinya adalah bagi tujuan promosi dan pelancaran produk semata-mata tanpa melibatkan pemilikan syarikat atau bidang perniagaan syarikat.
“Saya mengenali beliau dan isterinya ketika mereka datang untuk menyewa dewan saya bagi mengadakan satu program.
“Sebelum ini, beliau ada memberitahu dirinya seorang kontraktor pembinaan selain terlibat dengan perniagaan balak dan kayu gaharu,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Media melaporkan seorang lelaki bergelar Datuk Seri disyaki menjadi dalang sindiket pengedaran dadah ditahan di tempat letak kenderaan di belakang pusat beli-belah South City Plaza, Serdang, Selangor baru-baru ini.
Dalam serbuan pukul 5.30 petang itu, syabu seberat kira-kira 120 kilogram bernilai RM5 juta serta tiga kenderaan termasuk kereta mewah jenis Ford Mustang turut dirampas.
Datuk Seri yang juga suami usahawan kosmetik terkenal di Pantai Timur itu ditangkap bersama empat suspek lain.
Mengulas lanjut, Zalina berkata sepanjang perkenalan dengan ‘Datuk Seri’, dia tidak menyangka penglibatan lelaki itu dengan aktiviti menyalahi undang-undang.
“Saya percaya polis akan menjalankan siasatan dengan cara menyeluruh. Saya juga akan membersihkan nama dan syarikat daripada kegiatan yang menyalahi undang-undang,” katanya.
Zalina turut memohon warganet berhenti mengaitkan EY Beauty Empire yang baru menjalankan operasi perniagaan sejak Jun lalu dengan sebarang kegiatan dadah kerana perkara itu boleh menjejaskan periuk nasinya. -UTUSAN ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan