Ahad, 15 November 2020

Nelayan melecur muka, tangan akibat enjin bot terbakar.

Oleh NOOR HASLIZA NUSI
SEORANG nelayan cedera melecur pada bahagian muka dan tangan 
selepas terkena api pada enjin bot yang terbakar di kedudukan 1.2 batu 
nautika tenggara Pulau Rimau, Pulau Pinang tengah hari tadi. Pic 
IHSAN MARITIM MALAYSIA

GEORGETOWN: Seorang nelayan terpaksa menahan kesakitan akibat cedera melecur pada bahagian muka dan tangan selepas terkena api pada enjin bot yang terbakar di kedudukan 1.2 batu nautika tenggara Pulau Rimau tengah hari tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 12 tengah hari itu, mangsa yang dikenali sebagai Azrin, 35, terpaksa mendapatkan bantuan daripada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) negeri untuk dibawa mendapatkan rawatan segera di hospital.

Pengarah Maritim negeri, Kapten Maritim Abd Razak Mohamed berkata,  pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian  melalui MERS 999 lalu segera mengarahkan gerakan Bot KILAT 4  ke lokasi kejadian.

Menurut beliau, bot nelayan tempatan itu  dinaiki mangsa bersama empat kru termasuk tekong masing-masing berusia 24 hingga 44 tahun.

“Bot dari Pangkalan Kuala Muda itu terbakar di bahagian enjin sehingga menyebabkan seorang daripadanya melecur pada muka manakala tangannya terbakar.

“Empat lagi kru termasuk tekong tidak mengalami sebarang kecederaan dan di benarkan pulang bersama bot ke Jeti Pangkalan Kuala Muda untuk tujuan pembaikan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau memberitahu, mangsa yang cedera bagaimanapun telah dipindahkan ke bot KILAT 4 untuk dihantar ke Jeti Pangkalan Polis Marin (PPM) Batu Uban di sini sebelum dibawa ke Hospital Pulau Pinang untuk rawatan lanjut.

Tambahnya, orang ramai diminta memberi kerjasama sekiranya berlaku sebarang kecemasan di laut dengan menyalurkan maklumat lengkap kepada pihak Maritim Malaysia melalui talian 24 Jam iaitu MERS 999 atau terus hubungi Pusat Operasi Maritim Pulau Pinang, 04-2626146 atau 04-264 3650. – UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: