Ahad, 15 November 2020

PKPB langkah awal elak penularan Covid-19

 Oleh JUANI MUNIR ABU BAKAR

ADHAM Baba menyampaikan bakul makanan kepada salah seorang penduduk Kampung Lukut, Kota Tinggi.

KOTA TINGGI: Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di beberapa negeri termasuk Johor merupakan langkah awal bagi mengelakkan penularan virus Covid-19 lebih serius.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, sehingga kini terdapat beberapa kawasan terus mencatatkan peningkatan kes Covid-19 meskipun kerajaan lebih awal telah melaksanakan langkah pencegahan termasuk PKPB itu sendiri.

“Kita boleh lihat sendiri, setiap hari akan ada pertambahan jumlah kes termasuk di Johor sendiri. Seperti hari ini ada kes baharu di Tenggaroh, Kluang dan Tangkak.

“Jadi PKPB ini merupakan langkah awal daripada mengelakkan berlaku penularan lebih serius. Jangan sampai bila kes naik mendadak, nanti ramai mempersoalkan kerajaan mengapa tidak buatnya lebih awal,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas meninjau Operasi Ujian Pengesanan Covid-19 di Dewan Semerah Padi, Kampung Lukut di sini hari ini.

Sebelum ini, Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad meminta kepada Pusat agar Johor dikecualikan daripada PKPB dan mengesyorkan agar ia dilaksanakan secara bersasar.

Permintaan itu susulan pengumuman PKPB bagi seluruh negeri di Semenanjung termasuk Johor kecuali Perlis, Pahang dan Kelantan sehingga 6 Disember ini.

Sementara itu, Dr. Adham berkata, Kota Tinggi akan diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakkan Diperketatkan (PKPD) atau Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Secara Pentadbiran (Temco) jika daerah itu berada dalam zon merah.

Katanya, sehingga kini Kluster Padang di seluruh kawasan dalam Kota Tinggi telah mencatatkan 34 kes atau dikategorikan sebagai zon jingga.

“Namun sebelum memutuskan PKPD atau Temco, kita akan membuat penilaian risiko terlebih dahulu sementara menunggu keputusan ujian pengesanan terhadap kontak rapat.

“PKPB atau Temco ini betul-betul dibuat dengan melihat penilaian risiko yang tepat. Tetapi penilaian itu mungkin dilakukan lebih awal jika terus kes melebihi antara 21 hingga 40 kes,” katanya.

Dalam pada itu, Dr. Adham memaklumkan Kluster Padang di empat mukim dalam daerah ini telah mencatatkan 34 kes Covid-19 dengan 16 daripadanya dikesan di Kampung Lukut.

“Oleh itu, kita melaksanakan saringan komuniti di Kampung Lukut secara besar-besaran dengan sehingga kini terdapat lebih 800 daripada 1,000 penduduk telah melakukan ujian swab test.

“Selepas penduduk menjalani ujian ini, mereka diwajibkan menjalani kuarantin selama 14 hari di rumah masing-masing,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: