Ahad, 15 November 2020

Jakim sasar 1 juta pengikut laman sosial

Oleh AMREE AHMAD
LOGO JAKIM

PUTRAJAYA: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bakal memperkenalkan program Kembara Al-Amin menerusi platform media sosial agensi itu dengan 10 segmen dilaksanakan.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jakim, Datuk Abdul Aziz Jusoh menerusi kenyataan berkata, usaha itu bagi capai sasaran sejuta pengikut wadah tersebut sebelum akhir tahun ini.

Sasaran itu ditetapkan sendiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri yang juga akan merasmikan program itu pada 16 November.

“Antara objektif Kembara Al-Amin ialah bagi menyediakan kandungan baharu di media sosial Jakim selain mempromosikan segala produk perkhidmatan kepada pelanggan,” katanya.

Abdul Aziz yang turut menjalankan tugas Ketua Pengarah agensi itu menambah, program ini juga untuk mendekatkan hubungannya melalui kandungan kreatif yang interaktif dan efektif.

Ia ujarnya, merupakan jenama utama yang mengandungi beberapa segmen menarik dalam bentuk poster, infografik dan video secara berkala melalui laman Facebook rasmi Jakim.

“Untuk capai sasaran, program ini berlangsung selama 46 hari mulai 16 November hingga 31 Disember dengan segmen bersesuaian pelbagai lapisan umur dan merentasi kaum,” katanya.

Jenama Kembara Al-Amin jelas Abdul Aziz, mengambil inspirasi daripada gelaran Rasulullah SAW dalam menggambarkan perjalanan seseorang untuk menjadi insan yang lebih baik.

Antara segmen bakal dipapar ialah Oh! Baru Tahu yang berbentuk poster soal jawab umum agama dari buku Bayan Linnas dan akan disiarkan pihak Jakim sebanyak tiga kali seminggu.

Tidak ketinggalan segmen berbentuk video siaran langsung iaitu Tanya Jakim dan Heart Talk masing-masing memaparkan isu tular berkaitan Islam dan bicara nilai murni masyarakat.

Juga segmen video Ajaibnya Doa yang setiap hari menyiarkan doa pilihan Zulkifli selain Vokal Orang Muda iaitu pertandingan lagu ketuhanan kalangan berbakat sekali setiap dua minggu.

Turut dipaparkan setiap hari ialah segmen poster Refleksi Al-Amin yang menyiarkan hadis pilihan dan 1 Hari 1 Ayat yang berbentuk perkongsian ayat al-Quran dengan terjemahan. -UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: