Rabu, 18 November 2020

Lelaki pukul gelandangan berkerusi roda diberkas polis

Polis membantu warga emas kurang upaya membuat laporan di Balai Polis Lebuh Pantai.

GEORGE TOWN: Polis hari ini menahan seorang lelaki yang cuba merompak gelandangan berkerusi roda Sabtu lalu, yang menyebabkan lelaki warga emas itu mengalami kecederaan pada muka.

Dalam kejadian 9.30 pagi, mangsa berusia 66 tahun sedang berbual dengan rakannya di Jalan China, didekati penyerang yang kemudian berpura-pura bertanya sesuatu.

Lelaki itu kemudian merampas beg mengandungi barang berharga mangsa dan berlaku pergelutan menyebabkan suspek menumbuk muka warga emas berkenaan.

Apabila warga emas itu enggan melepaskan begnya, penyerang berkenaan meninggalkan kawasan berkenaan dengan rakannya yang menunggu dengan motosikal.

Kejadian itu dirakam oleh kamera.

Ketua Polis Daerah Timur Laut Soffian Santong berkata, seorang lelaki berusia 32 tahun kemudian ditahan di lokasi tidak jauh dari Stewart Lane dan memaklumkan suspek mempunyai 9 rekod jenayah lampau.

Beliau berkata, suspek itu dimasukkan ke Hospital Pulau Pinang kerana menghidap tuberkulosis dan pendarahan dalaman di bahagian perut.

“Polis turut mengesan rakannya dalam kejadian itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan,” katanya.

Tiada ulasan: