Rabu, 18 November 2020

Ketegasan Abdul Hamid dapat pujian Patriot

MALAYSIAKINI

Malaysiakini

Persatuan Patriot Kebangsaan (Patriot) menyokong langkah Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador menukar penyandang jawatan sensitif dalam perkhidmatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan lebih kerap pada masa depan untuk mengekang risiko berlaku salah laku dalam kalangan mereka.

"Patriot memuji tindakan yang diambil oleh Abdul Hamid ke atas pegawainya yang telah mencemarkan nama baik PDRM," kata presiden persatuan itu, Mohamed Arshad Raji, dalam satu kenyataan hari ini.

Dia mengulas mengenai pengumuman Abdul Hamid mengenai langkah PDRM memindahkan pegawai kanan dari tiga jabatan kritikal yang bertanggungjawab untuk penyiasatan dan pembasmian jenayah berkaitan gangsterisme, narkotik, maksiat dan perjudian tanpa berlesen.

Ia dibuat susulan penahanan sejumlah pegawai dan anggota PDRM oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana didakwa terlibat melindungi kegiatan Macau scam.

"Abdul Hamid beberapa kali menegaskan kepada pegawainya agar tidak terlibat dalam kegiatan jenayah atau dilihat berhubungan dengan penjenayah.

"Pegawai yang ditahan telah melanggar arahan, dan jika terbukti bersalah, mereka wajar menerima hukuman berat,” kata Mohamed Arshad.

Dia turut mengingatkan tempoh perkhidmatan Abdul Hamid akan berakhir pada 3 Mei 2021.

Justeru katanya baki tempoh tersebut tidak cukup untuk pegawai tertinggi PDRM itu membersihkan perkara yang tidak diingini dalam pasukan berkenaan.

"Dianggap sebagai salah satu jabatan kerajaan yang paling korup, tindakan pegawai polis yang tidak bertanggungjawab itu memburukkan lagi persepsi masyarakat terhadap polis.

"Patriot percaya Abdul Hamid berusaha sebaik mungkin untuk memenuhi janji yang dibuatnya sebelum ini iaitu untuk membersihkan PDRM daripada imej buruknya tetapi (kerana) keinginan untuk memperolehi kekayaan dengan cara yang salah, mereka yang berikrar dan diberi kepercayaan untuk mematuhi undang-undang telah gagal mematuhi arahan ketua polis negara dan terhadap negara," katanya.

Sebelum ini, Abdul Hamid juga dilaporkan berkata semua pegawai dan anggota yang bakal ditempatkan di Bahagian Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7), Jabatan Siasatan Jenayah dan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik akan disaring oleh jawatankuasa khas yang ditubuh Bukit Aman bagi memastikan mereka yang bakal ditempatkan di bahagian 'panas' mempunyai integriti yang tinggi.

Tiada ulasan: