Rabu, 18 November 2020

2 lagi ditahan dalam kes bakar mercun, halang tugas polis

Polis menunjukkan mercun yang dirampas daripada suspek dalam kejadian di Taman 
Serdang Jaya, Seri Kembangan pada Ahad lalu. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Dua lagi lelaki tempatan yang disyaki terlibat dalam kejadian membakar mercun secara terbuka, selain mencederakan seorang penduduk Jumaat lalu di Taman Serdang Jaya, Seri Kembangan, dekat sini, ditahan kelmarin.

Penahanan 2 lelaki itu menjadikan keseluruhan 10 suspek ditahan berkaitan insiden itu setakat ini.

Ketua Polis Daerah Serdang, Razali Abu Samah berkata, kedua-dua suspek itu ditahan dalam satu serbuan di Jalan Bandar Kinrara 5, Puchong di sini.

Beliau berkata, kedua-dua lelaki itu dipercayai terlibat membaling mercun sehingga mencederakan seorang mangsa di lokasi kejadian, selain membuat ugutan berikutan teguran diberikan mangsa.

“Kedua-duanya turut terbabit bersama 8 lagi individu ditahan Ahad lepas yang bertindak membuat provokasi ke atas anggota polis ketika cuba menyuraikan aktiviti membakar mercun secara terbuka itu,” katanya dalam kenyataan semalam.

Beliau berkata, mereka direman 3 hari bermula semalam bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah.

Kelmarin, Bernama melaporkan 8 individu berusia 27 hingga 53 tahun ditahan dipercayai melakukan aktiviti membakar mercun secara terbuka dan menghalang tugas anggota polis seperti yang tular dalam rakaman video di media sosial.

Tiada ulasan: