GEORGETOWN: Seramai lapan pelanggan yang sedang berhibur sambil menikmati minuman di sebuah restoran di Beach Street di sini selepas had tempoh perniagaan dibenarkan semasa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) terkedu apabila diserbu polis semalam.
Mereka terdiri daripada lelaki berusia 26 hingga 52 tahun itu masing-masing dikenakan tindakan kompaun selepas gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) PKPB dalam operasi yang dijalankan pada pukul 1 pagi.
Pemeriksaan SOP PKPB-Premis Perniagaan itu dilaksanakan oleh pasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut (IPDTL).
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, dalam pemeriksaan tersebut seorang lelaki yang bekerja sebagai pembantu premis berkenaan turut ditahan.
Menurutnya, tangkapan ke atas pemuda berusia 26 tahun itu dilakukan selepas didapati menjalankan aktiviti hiburan muzikal tanpa lesen serta perniagaan melebihi masa yang dibenarkan dalam tempoh PKPB.
“Tangkapan akan disiasat di bawah Seksyen 6(2) Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan 1998 dan Peraturan 10 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (No.8) 2020.
“Bagi pelanggan pula, masing-masing mereka dikenakan kompaun atas kesalahan di bawah Peraturan 10 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (No.8) 2020,” katanya di sini semalam.
Kesemua mereka kemudiannya dibawa ke IPD TL untuk diambil tindakan kompaun berikutan berada di dalam premis perniagaan yang beroperasi lebih had masa dalam tempoh PKPB. -UTUSAN ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan