PETALING JAYA: Seperti kebiasaan, Mogana Vadivellu tidak menjangkakan ramai tetamu pada sambutan Deepavali tahun ini. Beliau tinggal di sebuah tanah perkuburan di Meru dan tetamu selalunya tidak ramai.
Mogana, 24, mempunyai 16 ahli keluarga yang tinggal dalam 2 bilik bersebelahan sebuah dewan sembahyang di tanah perkuburan itu yang menjadi rumah mereka sejak 15 tahun lalu.
Tujuh daripada 16 ahli keluarganya ialah kanak-kanak, dengan yang paling kecil berusia setahun.
Orang dewasa akan memotong rumput di tanah perkuburan itu dan mengemaskan kubur pada waktu siang, di mana mereka hanya menerima sedikit bayaran dan dibenarkan tinggal dalam 2 bilik itu oleh syarikat yang diberikan kontrak untuk menjaga kebersihan tanah perkuburan berkenaan.
Sebuah bukit dipenuhi batu nisan mendominasi pemandangan dari pintu masuk dewan sembahyang itu, tetapi adik beradik dan anak saudara Mogana tidak terganggu dengannya.
Empat daripadanya dilahirkan di tanah perkuburan itu dan ia satu-satunya rumah yang mereka kenali.
“Ada orang tanya kenapa kami tinggal di sini dan kata kami patut pindah. Bagi mereka, ia adalah tanah perkuburan, tetapi bagi kami, ia adalah rumah kami,” kata Mogana kepada FMT.
“Orang biasanya datang ke sini hanya untuk satu tujuan. Bayangkan mengadakan sambutan hari jadi di sini. Adakah anda fikir orang akan datang?”
Bapa Mogana bersama bapa saudara dan ibu saudaranya pernah tinggal di sebuah rumah berhampiran Jalan Paip yang dirobohkan untuk memberi laluan kepada pembinaan sebuah sekolah pada 1997.
Selepas berpindah ke sebuah lokasi sementara berdekatan sebuah kolam ikan yang pernah mereka kerja dahulu, mereka kemudiannya berpindah ke tanah perkuburan itu pada 2005. Mereka mula melakukan beberapa kerja pembersihan secara bebas, sebelum diupah oleh kontraktor.
Ibu saudara Mogana, Kalai Selvi Vengu berkata, keluarganya boleh mendapat RM1,800 sebulan dengan membersihkan kubur, tetapi beliau berdepan kesukaran sejak perintah kawalan pergerakan (PKP) dilaksanakan Mac lalu.
“Ia sangat susah. Kadangkala kami tidak makan tengah hari, kadangkala kami tidak makan malam. Kami mampu bertahan disebabkan sumbangan orang ramai dan bantuan daripada kontraktor,” kata Kalai.
Walaupun Kalai dapat mencari beberapa kerja separuh masa untuk membersihkan rumah di kawasan itu, abangnya Prakesh mendapat pekerjaan berkebun dan menjual besi buruk.
Bapa Mogana, Vadivellu pula diambil bekerja di sebuah ladang ternakan.
Mereka berterima kasih kepada kontraktor yang membayar bil elektrik dewan sembahyang itu.
Walaupun mempunyai bekalan air, mereka terpaksa memasak menggunakan kayu api: bau masakan memenuhi ruang udara ketika keluarga itu menyediakan makan malam sewaktu lawatan FMT.
“Masak menggunakan kayu api lebih baik,” kata Vadivellu sambil menambah “makanan lebih sedap”.
Walaupun mereka bersetuju mahu tempat tinggal lebih baik, keluarga itu menekankan ia perlu berada di kawasan itu.
“Saya harap kerajaan boleh bantu kami,” kata Kalai sambil menambah kontraktor itu memberi masa sehingga hujung tahun ini untuk keluarganya berpindah dari tanah perkuburan itu.
“Kami semua mahu sebuah tempat yang sesuai untuk dijadikan rumah kami, terutamanya untuk membesarkan anak.”
Dengan 4 anak yang masih bersekolah, Kalai tahu ia penting untuk mereka melanjutkan pelajaran mereka sebanyak mungkin.
Bagi Mogana, perbincangan mengenai pendidikan agak tiba-tiba.
Beliau berhenti sekolah ketika di Tingkatan 2 pada 2009 untuk membantu keluarganya mencari nafkah, tetapi beliau masih ingat rakan sekelasnya mengejeknya sebagai “gadis tanah perkuburan”.
“Hantu tidak mengganggu kami di sini. Manusia yang berbuat demikian.”
Tiada ulasan:
Catat Ulasan