PETALING JAYA: Sambutan Deepavali tahun ini suram bagi kebanyakan warganegara Malaysia yang terkandas di negara lain akibat sekatan perjalanan bagi membendung penularan Covid-19.
Seorang daripada mereka, Ganandran Rothinam, pengawal keselamatan di Singapura berharap dapat menemui isteri dan 3 anaknya.
Beliau berulang-alik dari rumahnya di Kulai ke Singapura setiap hari sejak 29 tahun lalu, untuk bekerja sebagai pengawal keselamatan. Namun, sekatan perjalanan menyebabkan beliau tidak dapat pulang ke Johor.
“Saya tidak tahu ia akan berlarutan selama ini. Saya jangka 14 hari dan berfikir ‘ini bukan masalah, saya boleh tinggal di Singapura’, tetapi saya berada di sini sejak 18 Mac lalu,” katanya kepada FMT.
Lelaki berumur 58 tahun itu sedih tidak dapat bersatu dengan keluarganya, tetapi katanya, lebih baik tidak pulang kerana usianya menjadikan beliau berisiko lebih tinggi dijangkiti.
Beliau berkata, kerja juga penting kerana anak bongsunya masih belajar di universiti dan perlu membayar yuran pengajiannya.
“Saya agak sedih kerana rindu berjumpa anak saya. Semua orang berada di rumah akibat Covid-19, tetapi saya tidak berada di sana, saya terkandas di sini.
“Isteri saya menguruskan rumah dengan baik, jadi saya hanya bertanggungjawab menghantar wang untuk membayar sewa dan makanan. Saya bekerja di sini untuk mencari wang bagi keluarga saya.”
Deepavali tahun ini, beliau akan bekerja seperti hari biasa.
Katanya, beliau sedang menyimpan cuti tahunannya untuk pulang ke rumah dan menjalani kuarantin dengan berbaki beberapa hari berehat.
“Berjumpa keluarga saya ialah satu perkara, tetapi saya juga perlu memperbaharui pasport saya. Perkara lain ialah menyelenggara motosikal saya dan tidak sabar menghantarkannya ke bengkel kegemaran saya,” katanya sambil ketawa.
Di Hanoi, Vietnam, Paul Dinesh tidak berjumpa isteri dan anak perempuannya berumur 5 tahun sejak perintah kawalan pergerakan (PKP) dilaksanakan 8 bulan lalu.
Dinesh yang bekerja dengan sebuah syarikat pengeluar kereta Vietnam memberitahu FMT, beliau pulang ke Klang, Selangor dengan pesawat setiap 2 minggu.
“Saya menerima pekerjaan itu kerana hanya 3 jam penerbangan. Saya akan menaiki pesawat pada Sabtu dan meluangkan hujung minggu dengan keluarga saya dan kemudian pulang pada pagi Isnin.
“Paling teruk, saya fikir isu Covid-19 akan berakhir akhir tahun ini, tetapi sekarang nampaknya ia akan berterusan hingga tahun depan.”
Walaupun kes Covid-19 di Vietnam terkawal dengan satu angka kes harian, Dinesh berkata, syarikatnya melaksanakan larangan perjalanan ke atas pekerjanya untuk mengelakkan risiko jangkitan.
Katanya, kuarantin wajib 2 minggu apabila tiba di Malaysia dan pulang ke Vietnam menjadikannya sukar pulang ke Malaysia.
Walaupun beliau bersyukur teknologi memudahkannya menghubungi keluarga pada Deepavali, beliau berkata, ia masih sukar untuknya tidak meraikan pesta cahaya dengan keluarga tahun ini.
“Kami sentiasa menantikan Deepavali – berkumpul sebagai sebuah keluarga, bermain bunga api dan bergembira bersama. Saya tidak dapat berada di sana ketika anak saya membesar dan itu perkara yang saya terlepas.”
Pun begitu, Paul bercadang bersama rakyat Malaysia lain dan menikmati makanan India di Kedutaan Malaysia di Hanoi hujung minggu ini.
Beliau berkata, syarikatnya akhirnya membenarkan beliau pulang untuk memperbaharui pasportnya dan beliau berharap dapat menikmati nasi lemak dan roti canai kegemarannya tidak lama lagi.
Ganandran dan Paul bukan satu-satunya orang yang kecewa tidak dapat meraikan Deepavali. Ramai rakyat Malaysia yang berharap dapat bersama orang tersayang pada Deepavali ini menyuarakan sentimen sama di media sosial.
Ada yang “kecewa” tidak dapat menikmati kari di rumah terbuka, manakala yang lain sedih tidak dapat membeli pakaian baru dengan keluarga tahun ini.
Ada pula yang mempersoalkan makna perayaan tanpa berkumpul dengan keluarga dan menyifatkannya “Deepavali yang sunyi” bagi mereka.
Ramai yang berharap perintah kawalan pergerakan bersyarat akan dibatalkan lebih awal supaya mereka boleh pulang ke kampung tidak lama lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan