Khamis, 5 November 2020

Daripada 'tugasan kokpit' kepada 'kerja dapur' .

Azrin menampilkan kelainan dengan mengenakan pakaian seragam juruterbang ketika berniaga di gerai makannya di Subang Jaya. - FOTO IHSAN KAPTEN AZRIN MOHAMAD ZAWAWI
Azrin menampilkan kelainan dengan mengenakan pakaian seragam juruterbang ketika berniaga di gerai makannya di Subang Jaya. - FOTO IHSAN KAPTEN AZRIN MOHAMAD ZAWAWI

SUBANG: Membina kerjaya sebagai pengemudi pesawat tetapi kini terpaksa beralih kepada bidang perniagaan membabitkan 'kerja dapur' demi menyara keluarga.

Demikian cabaran dihadapi bekas juruterbang sebuah syarikat penerbangan, Kapten Azrin Mohamad Zawawi, 44, selepas diberhentikan kerja susulan langkah pengecilan operasi dan jumlah kakitangan syarikat itu akibat pandemik COVID-19, baru-baru ini.

Anak kelahiran Pasir Mas, Kelantan itu mengaku masih kekok dengan perubahan ditempuhi walaupun sudah bersedia menghadapi situasi terbabit sejak syarikat penerbangan berkenaan menawarkan skim pemisahan sukarela (VSS) dan cuti tanpa gaji sebelum ini.

Namun, beliau tetap tabah berdepan dugaan hilang punca pendapatan itu, malah gigih mengusahakan gerai 'Kapten Corner' di Boomtown, USJ 11, dekat sini, sejak 23 Oktober lalu.

Seperkara menambah tarikan ialah beliau menampilkan kelainan dengan mengenakan pakaian seragam juruterbang ketika berniaga di gerainya.

"Jika dulu saya hanya berada di dalam kokpit, namun kini terpaksalah belajar pergi membeli barang basah di pasar untuk bahan niaga, memegang pisau, mengupas bawang, membantu isteri menyediakan juadah dan pelbagai lagi.

"Semua ini agak baharu bagi saya, namun lama-kelamaan ia bak kata pepatah 'alah bisa, tegal biasa'.

"Pada mulanya, sampai bengkak jari-jemari membuat kerja. Membungkus kuah pun sangat kekok. Mujur ada sokongan serta bantuan daripada keluarga, sekali gus menguatkan motivasi saya untuk terus berkecimpung dalam bidang ini.

"Rutin harian saya bermula seawal jam 6 pagi untuk membuat persiapan sebelum membuka gerai dari jam 1 tengah hari hingga 9 malam setiap hari.

"Sambutan pelanggan sangat memberangsangkan walaupun gerai ini bahu beroperasi," katanya ketika ditemui BH, di sini, hari ini.

Mengenai keputusan untuk membuka gerai makanan, beliau yang berpengalaman selama 20 tahun sebagai juruterbang berkata, cadangan itu sudah dibincangkan lebih awal bersama ahli keluarga, terutama isteri, Latun Noralyani Meor Aminudin, 41.

"Sebenarnya, keluarga isteri sudah lama berkecimpung dalam bidang masakan dan katering.

"Idea membuka gerai ini tercetus apabila terdengar khabar angin bahawa syarikat akan menawarkan VSS.

"Susulan itu, kami berbincang dan memilih lokasi serta jenis juadah akan dijual berdasarkan nasihat semua pihak, termasuk kawan isteri yang menerajui tapak perniagaan di sini.

"Kepada semua di luar sana yang senasib dengan saya, jangan putus asa! Semangat perlu tinggi untuk 'survive' dan sentiasa berfikir ke hadapan serta idea yang boleh dilaksanakan untuk menghadapi dugaan ini," katanya.

Tiada ulasan: