Jumaat, 13 November 2020

BUMITRA kemuka 7 cadangan pulih sektor pelancongan

KUALA LUMPUR: Persatuan Syarikat Pengendalian Pelancongan Bumiputera (BUMITRA) mengemukakan tujuh cadangan dalam usaha membantu industri dan agensi pelancongan yang terjejas teruk ketika ini akibat pandemik COVID-19.

Presidennya, Mohd Ali Ab Malek berkata, ia adalah memohon supaya moratorium dilanjutkan, meminta syarat Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) diberikan kelonggaran serta kadar faedah tidak melebihi satu peratus dan bayaran bermula apabila wabak COVID-19 tiada lagi.

Beliau berkata, cadangan lain ialah Program Subsidi Upah (PSU) khas agensi pelancongan dinaikkan kepada 60 peratus untuk gaji RM4,000 ke bawah dan 30 peratus untuk gaji RM8,000 ke bawah.

Katanya, persatuan itu juga memohon kerajaan memberi kelonggaran supaya rakyat Malaysia dapat melancong di dalam negara seterusnya menyumbang kepada ekonomi pelancongan.

"BUMITRA juga memohon supaya Bank Negara Malaysia (BNM) atau Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) semak semula terma pinjaman dan benarkan untuk lanjutan moratorium kepada peminjam daripada kalangan pengusaha bas pelancongan.

"Cadangan lain termasuk memohon dana khas untuk industri pelancongan serta menubuhkan Majlis Tindakan Pemulihan Pelancongan (MTPP)

"Belanjawan 2021 yang dibentangkan dilihat seolah-olah tiada peruntukan khas yang menjurus kepada penambahbaikan sektor berkenaan kerana ketika ini ia menggajikan lebih dari 3.5 juta pekerja dan menyumbang 15 peratus kepada Keluaran Negara Kasar Negara (KDNK)," katanya dalam kenyataan media, di sini, hari ini.

Mohd Ali berkata, Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya menyatakan hampir sejuta orang yang bekerja di sektor pelancongan bakal hilang pekerjaan.

"Ini bermakna industri pelancongan yang menjadi penyumbang ekonomi ketiga tertinggi di negara ini hampir lumpuh.

"Justeru BUMITRA memohon kerajaan untuk mempertimbangkan semula Belanjawan 2021 supaya dapat memberi peruntukan khusus mencukupi, bersasar dan realistik," katanya.

Tiada ulasan: