Jumaat, 13 November 2020

Usahawan muda manfaat media sosial promosi jualan .

BH ONLINE
 NURUL Nadiah mengusahakan perniagaan menjual pokok hiasan dalam talian.
NURUL Nadiah mengusahakan perniagaan menjual pokok hiasan dalam talian.

KUALA LUMPUR: Paparan gambar jeruk buah-buahan berserta kuah colek dan laksa mangga muda menerusi akaun media sosial setiap hari, menjadi medium seorang usahawan muda menangani impak peningkatan kos sara hidup.

Norzizah Mat Isa, 35, bergantung sepenuhnya kepada Instagram untuk berhubung mempromosi produk dan menerima tempahan pelanggan sejak berniaga pada 2010.

Menerusi kaedah berkenaan, ibu kepada tiga cahaya mata itu mampu bertapak dan bertahan dalam suasana himpitan susulan penularan COVID-19.

"Mula-mula menceburi perniagaan ini, rentaknya agak perlahan sehingga saya mencuba untuk mencari pasaran menerusi Instagram selepas melihat ada yang berbuat demikian.

"Apabila mendapat maklum balas langsung daripada orang ramai, mulanya saya terkejut juga kerana pendekatan berkenaan berhasil.

"Bertitik tolak daripada situ, saya guna sepenuhnya Instagram untuk mempromosi produk jualan dan mengambil tempahan," katanya kepada BH, semalam.

Norzizah yang menetap di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Seri Alam di sini, mampu menjual sehingga 100 kilogram (kg) mangga sehari membabitkan penghantaran kepada ratusan pelanggan sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menyedari rentak perniagaan agak terganggu, beliau mempelbagaikan produk dengan menjual nasi bajet pada harga amat berpatutan, sambal belacan dan kuini.

"Saya turut menawarkan promosi tertentu bagi memastikan perniagaan kekal mendapat sokongan pelanggan," katanya yang turut memohon Geran Khas Prihatin ditawarkan kerajaan.

Sementara itu, Nurul Nadiah Noor Azlan, 35, menyifatkan pengalaman diberhentikan kerja sebagai eksekutif kanan di syarikat pelaburan, membuka peluang baginya meneroka bidang baharu perniagaan dalam talian.

Sejak terbabit dalam skim pemberhentian kerja Mei lalu, beliau mengusahakan perniagaan menjual pokok hiasan secara dalam talian melalui Instagram dan Twitter.

"Bilangan pengikut yang ramai memudahkan saya mempromosi produk di laman sosial dan sambutannya amat menggalakkan kerana ramai mengambil peluang menanam pokok hiasan di dalam rumah ketika ini, " katanya.

Beliau berkata, peruntukan RM95 juta mikro kredit dalam memperkasakan usahawan wanita melalui Belanjawan 2021 bertepatan dalam membantu golongan sepertinya yang terjejas akibat COVID-19.

Katanya, ia berupaya membantu lebih ramai individu termasuk wanita yang kehilangan punca pendapatan untuk terus bernafas melalui cabaran baharu, terutama e-perdagangan yang menawarkan pelbagai peluang jika rajin berusaha.

Tiada ulasan: