Selasa, 17 Mac 2020

Solat Jumaat di Selangor digantung hingga 17 Apr


Sultan Selangor mengarahkan laungan azan diteruskan seperti 
biasa bagi menandakan masuk waktu solat.

PETALING JAYA: Sultan Selangor mengarahkan solat Jumaat di negeri itu digantung sehingga 17 Apr ini dalam usaha mengekang penularan Covid-19.

Istana Selangor dalam satu kenyataan hari ini berkata, semua aktiviti secara berjemaah di masjid, surau dan musala turut ditangguhkan sehingga tarikh itu.

Sultan Sharafuddin Idris Shah mengeluarkan arahan itu selepas mengadakan mesyuarat khas dengan mufti, Majlis Agama Islam Selangor dan Jabatan Agama Islam Selangor.

Sultan bagaimanapun mengarahkan laungan azan diteruskan seperti biasa bagi menandakan masuk waktu solat.
 
“Ketetapan ini juga selaras Perintah Kawalan Pergerakan di seluruh negara yang diumumkan perdana menteri semalam.”
 
Sultan Sharafuddin menasihatkan rakyat tidak berkumpul di tempat awam, terutamanya individu yang mempunyai simptom jangkitan itu.
 
Rakyat juga diminta mematuhi arahan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan demi memulihkan negara.
 
 

Tiada ulasan: