Rabu, 4 Mac 2020

Sikap ibu bapa punca kanak-kanak berpelesiran meningkat

Aqila

 

Saban tahun, purata 100 kes berjaya diselamatkan oleh pihak JKM


PUTRAJAYA – Isu lepak dan berpelesiran yang melibatkan kanak-kanak di negara ini dilihat tidak berkesudahan, malah ia sering dikaitkan dengan pelbagai permasalahan termasuk menunggang basikal lasak yang dikategorikan sebagai bahaya dan sukar diambil tindakan dari segi undang-undang.

Saban tahun, purata 100 kes kanak-kanak berpelesiran berjaya diselamatkan oleh Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM) sekali gus menunjukkan langkah proaktif diambil bagi membendung nasib kanak-kanak ini agar terus terbela.

Menerusi temu bual eksklusif wartawan Bernama, Pengarah Bahagian Kanak-Kanak Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM) Arfan Sulaiman mengupas isu kanak-kanak melepak dan berpelesiran dengan lebih mendalam.

BERNAMA: Dengan kajian dan pemantauan yang dilakukan oleh JKM, boleh huraikan faktor utama penyebab kanak-kanak ini berpelesiran?

ARFAN: Saya percaya, isu ini berlaku disebabkan pelbagai faktor dan paling menonjol adalah ibu bapa terlalu percaya dan mengambil mudah apabila anak mereka berada di luar. Ini dapat dapat dilihat apabila saban tahun lebih 100 aduan diterima mengenai kanak-kanak ini berpelesiran dan JKM sentiasa tampil dengan pelbagai kaedah untuk membantu dan menyelamatkan kanak-kanak ini.

Melalui pemerhatian kami juga, tidak dinafikan sikap ibu bapa yang ambil mudah serta terlalu mempercayai anak mereka menyebabkan kanak-kanak ini ‘berani’ berpelesiran sehingga lewat malam.

Tidak terkecuali apabila ibu bapa menganggap kawasan perumahan yang didiami selamat serta umur anak yang berusia sembilan hingga 15 tahun adalah sudah besar juga mendorong kanak-kanak ini berada di luar rumah tanpa pengawasan yang sewajarnya.

Kami melihat trend ini amat membimbangkan walaupun secara purata ia hanya 100 kes setahun yang dilaporkan. Jadi bagaimana dengan yang tidak dilaporkan?

Bagaimanapun, melihat jumlah aduan yang diterima kita dapat simpulkan masyarakat semakin berani membuat aduan terutama di Talian Kasih 15999. Ini secara tidak langsung menunjukkan sensitiviti masyarakat terhadap kes melibatkan kanak-kanak semakin meningkat.

BERNAMA: Ada ibu bapa yang terlalu percayakan anak-anak mereka dan disebabkan itu mendorong ‘membenarkan’ anak mereka berpelesiran hingga dinihari. Adakah ini boleh dianggap kecuaian?

ARFAN: Kita tidak boleh menyamaratakan kerana setiap kes berbeza daripada pelbagai faktor. 
Sebagai contoh, anak memberitahu pergi tuisyen atau ada kelas tambahan dan sudah tentu ibu bapa percaya.

Begitu juga dengan keadaan sosioekonomi sesebuah keluarga yang ‘memaksa’ ibu bapa meletakkan kepercayaan kepada kanak-kanak. Sebagai contoh, ada ibu bapa yang terpaksa bekerja syif dan tiada kemampuan menyediakan pembantu rumah atau penjaga. Jadi mahu tidak mahu, mereka terpaksa ‘membiarkan’ anak menjaga diri sendiri.

Jika ada yang mendakwa faktor saiz rumah yang kecil membuatkan kanak-kanak itu tidak selesa berada di rumah, ia juga tidak tepat kerana ada kes berpelesiran yang membabitkan kanak-kanak daripada keluarga berpendapatan mewah.

Bagaimanapun, jika terdapat aduan terutama daripada jiran terdekat kami akan siasat dan lakukan yang terbaik untuk membantu mencari jalan penyelesaian. Kita juga percaya, peranan ibu bapa dalam proses mendidik dan mencegah itu lebih penting dalam mengekang anak-anak daripada berpelesiran.

BERNAMA: Isu kanak-kanak berpelesiran/ lepak ini juga sering dikaitkan dengan aktiviti basikal lajak. Apa pandangan pihak tuan?

ARFAN: Persoalan paling penting di sini adalah siapa yang sediakan basikal, dan jika diubah suai siapa yang membenarkannya? Bagi saya, jika pencegahan awal oleh ibu bapa sudah diambil, sudah tentu aktiviti basikal lajak ini dapat dikekang.

BERNAMA: Selain daripada cadangan peraturan ‘waktu perintah berkurung’, apakah antara solusi lain yang boleh diguna pakai dalam usaha mengekang kanak-kanak ini daripada berpelesiran, sekali gus mendedahkan mereka kepada pelbagai risiko keselamatan.

Azrul Hakimie, [04.03.20 09:23] ARFAN: Saya kira, usaha terbaik adalah membudayakan semula ‘jaga tepi kain orang’ yang selama ini diketepikan atas pelbagai alasan. Saya percaya, jiran adalah jaringan sokongan yang perlu diperkukuhkan terutama di kejiranan yang mempunyai kes-kes kanak-kanak berpelesiran ini.

Di samping itu, kefungsian ibu bapa juga perlu diberi perhatian. Maksud saya, sistem kekeluargaan yang kondusif perlu diwujudkan seperti kemahiran menguruskan rumah tangga dan ini secara tidak langsung mengurangkan kebarangkalian anak-anak berpelesiran.

Di samping itu, ibu bapa juga perlu belajar menerima hakikat jika anak mereka bermasalah termasuk suka berpelesiran. Terima teguran yang diberikan oleh jiran kerana mereka mungkin mata dan telinga keselamatan anak anda ketika anda tiada di rumah.

BERNAMA: Difahamkan, JKM sendiri mempunyai pasukan khas untuk membantu masyarakat menangani gejala sosial, terutama yang melibatkan kanak-kanak. Boleh terangkan lebih lanjut mengenai pasukan ini?

ARFAN: JKM telah menubuhkan Pasukan Pelindungan Kanak-kanak yang mempunyai 132 Pelindung Kanak-kanak dan 149 Pusat Aktiviti Kanak-kanak. Mereka ini terdiri daripada masyarakat atau individu di kawasan penempatan yang kami pilih dan akan menggerakkan pelbagai program atau mengambil tahu isu-isu yang berlaku di kawasan mereka.

Penubuhan pasukan ini difokuskan di kawasan yang kadar jenayah kanak-kanak tinggi, kawasan berkepadatan tinggi atau kawasan yang mempunyai masalah sosial yang tinggi.

Kami tubuhkan pasukan ini bagi mengekang kecenderungan perilaku kanak-kanak ke arah negatif dengan mengadakan aktiviti yang bergantung kepada keperluan tempat atau lokasi.

Selain itu, dalam akta kanak-kanak sendiri, JKM mempunyai peranan iaitu pegawai kami diwartakan sebagai Pelindung/Pegawai Akhlak. Ini bermaksud, Pelindung/Pegawai Akhlak yang diberi kuasa ini menyelamat kanak-kanak bagi kes melibatkan pengabaian kanak-kanak, pembuangan bayi malah berpelesiran.

Namun dalam menjalankan fungsi itu, JKM mempunyai garis panduan dan tertakluk kepada akta dan kategori kanak-kanak yang perlu diselamatkan.-Bernama


Tiada ulasan: