Jumaat, 13 Mac 2020

Seorang jemaah tabligh di Tawau disahkan positif Corvid-19

SEORANG jemaah tabligh dari Tawau yang menyertai perhimpunan di Masjid Jamek Sri Petaling, Kuala Lumpur pada 29 Februari hingga 1 Mac lalu, kini disahkan positif COVID-19.
 Lelaki berumur 58 tahun itu merupakan antara 350 jemaah tabligh dari Tawau yang menyertai perhimpunan itu dan terdedah kepada kes positif di Brunei yang didedahkan baru-baru ini.
Astro Awani melaporkan dia telah dimasukkan ke wad Hospital Tawau  pada 10 Februari lalu kerana mengalami gejala demam, batuk dan sesak nafas telah disahkan positif jangkitan koronavirus berkenaan.

Jabatan Kesihatan Tawau pula telah mengambil tindakan mengkuarantinkan semua ahli keluarga yang mempunyai hubungan rapat dengan mangsa di rumah.
 
Mereka tidak dibenarkan keluar dan tiada sebarang lawatan ke atas mangsa dibenarkan masa ini.
 Pada masa sama anggota tabligh sekitar Tawau yang terlibat dalam perhimpunan di Kuala Lumpur diminta tidak  mengikuti solat Jumaat hari ini bagi mengelakkan penyebaran COVID-19 di daerah Tawau.

Jabatan Agama Islam Sabah (JAIS) juga telah bersetuju tentang saranan dan sebab supaya kumpulan itu tidak perlu ke masjid untuk menunaikan solat Jumaat.

Sehingga pukul  2 petang Khamis, lebih 140 jemaah tabligh di Tawau telah tampil menjalani saringan kesihatan, sementara 210 lagi sedang dijejaki.

Tiada ulasan: