Ketua
Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah mengingatkan orang ramai
bahawa tidak perlu memakai penutup hidung dan mulut kecuali mempunyai
simptom Covid-19 seperti selesema atau batuk.
"Saya ingin memberi
penekanan di sini sekali lagi, penutup mulut dan hidung adalah untuk
melindungi pekerja penjagaan kesihatan ketika mereka berhadapan dengan
pesakit.
"Di khalayak ramai, anda tidak perlu memakai penutup
hidung dan mulut melainkan jika anda mempunyai simptom hidung berair
atau batuk, jadi tidak perlu memakai penutup hidung dan mulut, kecuali
terdapat petunjuk untuk memakainya," katanya dalam satu sidang akhbar di
ibu pejabat Kementerian Kesihatan di Putrajaya hari ini.
Beliau
berkata demikian sebagai menjawab soalan wartawan yang bertanya mengenai
pengguna media sosial yang mengadu dilarang masuk kedai runcit dan
pasar raya kerana tidak memakai penutup mulut dan hidung.
Sementara
itu, Noor Hisham juga mendedahkan bahawa Kementerian Kesihatan Malaysia
(KKM) telah menambah enam lagi hospital untuk dijadikan hospital
"hibrid" bagi merawat Covid-19 dan kes kecemasan lain.
KKM juga cuba melibatkan dua lagi hospital universiti dan hospital tentera, katanya.
Selain
itu, kementerian juga sedang dalam proses memperoleh 450 ventilator
baru hari ini - 100 dari vendor tempatan dan 350 lagi dari China.
Semalam, beliau berkata KKM telah mengenal pasti 26 hospital khusus bagi merawat Covid-19.
Beliau
juga berkata semalam bahawa mereka telah menyediakan 925 ventilator
untuk pesakit Covid-19 tetapi masih memerlukan sebanyak 500 lagi.
Noor
Hisham hari ini turut memaklumkan bahawa KKM juga telah bekerjasama
dengan hospital swasta untuk melihat kemungkinan sama ada beberapa kes
bukan Covid-19 dirujuk ke hospital swasta.
Selain itu, beberapa
NGO telah tampil menyumbang kepada kumpulan pakar, seperti Persatuan
Perubatan Malaysia dan Persatuan Ahli-ahli Anaestesi Malaysia.
Noor
Hisham turut juga mendedahkan bahawa pada masa ini, kementerian itu
mempunyai 18 makmal dan selain lima fasiliti swasta yang boleh
menjalankan 3,500 ujian saringan untuk Covid-19 dalam sehari.
"Minggu
depan, kita boleh melakukan 7,000 ujian setiap hari. Pada bulan April,
kami menjangkakan dapat melakukan 16,000 ujian setiap hari," katanya,
sambil menambah bahawa mereka merancang melatih beberapa makmal lain
untuk menjalankan ujian itu.
Noor Hisham menjelaskan bahawa
terdapat lima peringkat pesakit yang datang ke hospital, di mana tahap
satu adalah positif untuk Covid-19 tetapi tidak menunjukkan gejala,
manakala peringkat kedua adalah positif dan mengalami gejala ringan.
Pesakit
dari kedua-dua peringkat ini tidak akan dimasukkan ke hospital tetapi
sebaliknya akan diletakkan di kawasan kementerian yang telah ditukar
menjadi pusat kuarantin.
Pesakit peringkat 3 adalah bagi yang
mempunyai radang paru-paru, sementara peringkat 4 bagi yang mempunyai
radang paru-paru dan memerlukan oksigen.
Peringkat 5 adalah bagi pesakit yang mempunyai radang paru-paru dan memerlukan tiub dan batuan alat pernafasan.
Kementerian
Kesihatan hari ini mengumumkan dua kematian baru akibat jangkitan
Covid-19, membawa jumlah kematian di Malaysia kepada 10 orang.
Terdapat 123 kes positif baru Covid-19 sehingga pukul 12 tengah hari tadi, yang menjadikan jumlah keseluruhan 1,306 kes.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan