KORONAVIRUS | Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah, mengesahkan beberapa kakitangan Hospital Teluk Intan (HTI) disahkan dijangkiti wabak Covid-19.
Katanya, HTI tahu bahawa ada berita ditularkan di media sosial bahawa berlaku peningkatan bilangan kes positif Covid-19 dalam kalangan doktor sehingga menyebabkan operasi harian di situ terganggu.
"Beberapa kakitangan perubatan disahkan positif Covid -19. Bagaimanapun, langkah-langkah keselamatan dan pencegahan diambil dengan segera serta pemantauan rapi dilaksanakan secara berterusan," katanya dalam satu kenyataan awal hari ini.
Menurut Noor Hisham pihak pengurusan HTI juga mengambil tindakan melakukan pengawalan rapi dengan bantuan Pejabat Kesihatan Daerah Hilir Perak.
Tindakan pencegahan untuk meminimumkan pendedahan terhadap kakitangan HTI pula, katanya, menjadi aktiviti utama sejak kes pertama jangkitan positif Covid-19 dikenal pasti.
Covid-19 masih menjadi ancaman utama di negara ini ketika perintah kawalan pergerakan memasuki hari keenam hari ini.
Semalam Malaysia mencatatkan korban ke-10 wabak berasal dari Wuhan, China itu. Jumlah keseluruhan kes positif pula meningkat menjadi 1,306.
Setakat ini seramai 19 kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan lima petugas syarikat kemudahan perubahan swasta dijangkiti wabak tersebut. Bagaimanapun jangkitan membabitkan kakitangan KKM itu bukan disebabkan kegagalan mereka mematuhi peraturan yang ditetapkan semasa mengendalikan pesakit.
Kenyataan Noor Hisham pagi ini dipercayai
merujuk kepada hantaran di media sosial yang tular - tetapi tidak dapat
disahkan - yang mendakwa ada kakitangan di HTI positif Covid-19.
Hantaran
itu menyalahkan pihak pengurusan HTI kerana tidak melakukan ujian
saringan kepada kakitangan hospital terbabit selepas seorang daripada
petugasnya disyaki mengalami wabak berkenaan.
"Orang
ramai digesa agar tidak menularkan sebarang berita yang tiada kesahihan
kerana dibimbangi mencetuskan kegusaran orang ramai," kata Noor Hisham.
Semalam
seorang doktor berusia 48 tahun menjadi korban kesembilan Covid-19 di
negara ini dan menjadi kakitangan perubatan pertama meninggal dunia
akibat wabak tersebut.
Bagaimanapun, mangsa itu bukan
kakitangan barisan depan yang mengendalikan pesakit Covid-19. Sebaliknya
kes itu mempunyai kaitan dengan kunjungannya ke luar negara.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan