Isnin, 2 Mac 2020

Kerajaan tanpa DAP perkukuh kedudukan politik Melayu

ainulillia

 

Kemelut politik berpanjangan jika PH bawa usul undi tidak percaya


BANGI – Pelantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri kelapan menandakan kerajaan Malaysia baharu bakal didominasi faktor Melayu, Islam dan Bumiputera. 

Profesor Madya Fakulti Ekologi Manusia Universiti Putra Malaysia, Dr Mohd Izani Mohd Zain berkata, kerajaan tanpa DAP khususnya akan memperkukuh kedudukan politik Melayu sebagai teras politik Malaysia.

Situasi itu, katanya, amat berbeza dengan naratif kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang berasaskan kesetaraan dan tidak mahu dikaitkan sama sekali dengan faktor agama dan perkauman dalam menjayakan perkongsian kuasa mereka.

“Meskipun sukar menahan amarah politik PH, kita berharap mereka berlapang dada dan menerima hakikat politik dengan hati terbuka. Kemelut politik ini sewajarnya memberi pengajaran kepada ahli politik bahawa kepentingan negara mengatasi perbezaan mereka.

“Sudah tentu pilihan rata-rata rakyat Malaysia mahu melihat PH menerima kepemimpinan Perdana Menteri baharu dan tidak membawa usul tidak percaya dalam Dewan Rakyat nanti. Jika tidak, kemelut politik akan terus berpanjangan,” katanya dalam artikel yang disiarkan BHOnline.

Mengulas lanjut, beliau berkata, sudah tiba masanya kerajaan yang bakal dibentuk memberi perhatian semula kepada rakyat dan kesejahteraan mereka, lebih-lebih lagi dalam ketidaktentuan ekonomi yang melanda bukan sahaja di Malaysia, tetapi juga pada peringkat global.

“Sudah tentu banyak perkara perlu diselesaikan oleh Perdana Menteri dan kerajaan baharu. Rakyat yang muak dengan krisis politik, perlu diberikan kepercayaan semula agar sokongan kepada kerajaan semakin baik demi kebaikan bersama.

“Kita percaya, pelantikan Perdana Menteri dan pembentukan kerajaan baharu tidak dapat merungkaikan semua kemelut politik negara yang berlaku mutakhir ini. Namun, buat masa sekarang, inilah pilihan yang kita ada.

“Sokongan perlu diberikan kepada Perdana Menteri dan kerajaan semasa yang baharu atas semangat demokrasi,” katanya. 

Semalam, Muhyiddin mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri kelapan di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia sebagai Perdana Menteri itu berlangsung di Balai Singgahsana Kecil, Istana Negara. 
Al-Sultan Abdullah memberi perkenan pelantikan itu selaras dengan Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.


Tiada ulasan: