Menteri Kesihatan Adham Baba memaklumkan Malaysia kini memasuki fasa pembendungan akhir wabak Covid-19.
"Jadi kita sekarang ini dah masuk late containment (pembendungan akhir) kerana kes kita dapat terbaru sebanyak 428 kes kini kia dah masuk late containment dan ini kita perlu buat satu tindakan drastik," katanya pada sidang akhbar yang disiarkan di Facebook.
Jelasnya, kerajaan akan menggunakan undang-undang "di bawah perintah pengawasan dan pemerhatian Seksyen 15(1) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988."
"Kita akan ambil tindakan. Pasti. Saya nak kata perkataan menjejaki - memburu mereka," tegas Adham lagi.
Wabak Covid-19 bertambah buruk susulan jangkitan yang dikaitkan dengan himpunan tabligh di Sri Petaling di Kuala Lumpur.
Seramai 16,000 orang hadir perhimpunan selama empat hari bermula 27 Feb lalu. Dianggarkan 14,500 peserta perhimpunan itu terdiri daripada rakyat Malaysia sementara 1,500 lagi ialah warga asing.
Kementerian Kesihatan cuba mengesan para peserta tetapi tidak semua yang memberikan kerjasama.
Seksyen
15 (1) akta itu menyatakan,"seseorang pegawai diberi kuasa boleh
memerintahkan supaya mana-mana kontak menjalani pemerhatian di mana-mana
tempat dan bagi apa-apa tempoh yang difikirkannya patut, atau menjalani
pengawasan sehingga dia boleh dilepaskan tanpa membahayakan orang
ramai."
Tiada seksyen khusus menyediakan penalti tertentu tetapi Seksyen 24 akta itu memperuntukkan:
"Kesalahan pertama, boleh dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau didenda atau kedua-duanya.
"...kesalahan kedua atau kesalahan berikutnya, boleh dipenjarakan tidak melebihi lima tahun atau didenda atau kedua-duanya.
"...berkenaan dengan kesalahan yang berterusan, didenda selanjutnya tidak melebihi dua ratus ringgit bagi tiap-tiap hari kesalahan itu berterusan."
Hari
ini, sejumlah 190 kes baru Covid-19 di Malaysia direkodkan, peningkatan
jangkitan tertinggi dalam masa 24 jam sejak awal wabak ini dilaporkan
pada akhir Januari.
Tiga hari lalu, Adham berkata Malaysia berada pada tahap pembendungan awal Covid-19.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan