Sabtu, 21 Mac 2020

China sumbang lebih 20,000 peralatan perubatan untuk PDRM


MALAYSIAKINI
 Malaysiakini


Malaysia menerima bantuan lebih 20,000 peralatan perubatan dari China khusus untuk kegunaan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), kata Menteri Luar Hishammuddin Hussein.

Katanya bantuan itu diterima oleh pihak Kedutaan Malaysia di Beijing menerusi Duta Besar Malaysia di sana Nushirwan Zainal Abidin dan wakil PDRM Chern Lea Keong.

"Lagi bantuan peralatan perubatan! Terima kasih sekali lagi kepada China yang menyumbang 1,000 penutup mulut dan hidung, 20,000 ‘medical masks’, 100 pakaian pelindung dan 100 gogal, kali ini khusus untuk anggota Polis Diraja Malaysia PDRM pula.

"Malaysia dan China - air dicincang tidak akan putus!" katanya menerusi catatan di laman Facebooknya malam ini.

Hishammuddin pada Isnin lepas telah menerima kunjungan Duta Besar China ke Malaysia Bai Tian di Wisma Putra, Putrajaya, membincangkan mengenai hubungan Malaysia-China yang perlu diperkukuh demi manfaat dalam pelbagai sektor serta tumpuan terhadap usaha menangani penularan Covid-19.

Kerajaan menguatkuasakan beberapa langkah dalam usaha mengekang Covid-19 daripada terus merebak di negara ini termasuk Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula dari 18 sehingga 31 Mac ini yang melibatkan peranan PDRM memastikan kelancaran perintah berkenaan.

Semalam, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata kerajaan turut akan menggerakkan Angkatan Tentera Malaysia bermula Ahad ini bagi membantu PDRM menguatkuasakan perintah itu.- Bernama

Tiada ulasan: