HARAKAHDAILY
KUALA LUMPUR: Gerakan Kebangkitan Pendidik
Kebangsaan (PENDIDIK) membantah cadangan untuk Kementerian Pendidikan
melaksanakan semula dasar Pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa
Inggeris (PPSMI).
Presiden PENDIDIK, Normala Sudirman berkata, dasar tersebut jelas
bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan dan Akta Pendidikan
Kebangsaan 1996 yang meletakkan Bahasa Melayu sebagai pengantar utama
matapelajaran di sekolah.
“Sepatutnya semua mata pelajaran teras atau mata pelajaran utama
seperti Matematik dan Sains mestilah diajar dalam Bahasa Melayu yang
diiktiraf sebagai bahasa rasmi negara dan bukannya Bahasa Inggeris.
“Kita bukanlah menolak pembangunan atau sebarang kemajuan tetapi
janganlah mengambil sikap seperti ‘tikus membaiki labu’ kerana
dibimbangi ibarat peribahasa Melayu yang menyebutkan, ‘yang dikejar tak
dapat yang dikendong berciciran’,” nasihatnya.
Menurutnya, dasar PPSMI yang telah menelan kos melebihi RM3.6 juta
telah dimansuhkan secara rasminya pada tahun 2012 sebelum ini akibat
kegagalan yang telah dibuktikan oleh tokoh akademik, pejuang bahasa.
Malahan katanya, ibu bapa dan pelajar turut membantah, namun alangkah
terkejutnya apabila Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad merangkap
Pemangku Menteri Pendidikan Malaysia mahu meneruskan semula dasar ini.
“Harus diingat, banyak negara maju seperti Jepun, Jerman, China dan
lain-lain dilihat tegas mempertahankan bahasa rasmi negara mereka dan
begitu optimis bahawa bangsa mereka hanya akan maju jika mereka menjaga
identiti bahasa ibunda masing-masing.
“Kita bukan menafikan kepentingan Bahasa Inggeris tetapi sikap
terlalu mengagungkan Bahasa Inggeris sehingga mahu meminggirkan peranan
Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara amat dikesali,” ujarnya.
Menurutnya beliau tidak mahu pelajar dan warga pendidik di Malaysia
menganggap diri mereka ibarat ‘tikus makmal’ yang menjadi mangsa
eksperimen dasar pendidikan yang tidak konsisten dan bercelaru.
Bahkan menurutnya, sehingga masa depan para pelajar seolah-olah kabur
akibat sikap pemimpin negara yang kurang cermat dalam menentukan dasar
pendidikan negara semakin ‘caca marba’.
Justeru, PENDIDIK menyokong penuh solidariti yang bakal
diterjemahkan melalui Serahan Memorandum Bantahan Pelaksanaan PPSMI di
Masjid Putrajaya pada hari ini, Jumaat 7 Februari jam 2.00 petang nanti
Ia akan diserahkan kepada Perdana Menteri sebagai tanda keprihatinan
rakyat Malaysia terhadap martabat Bahasa Melayu yang merupakan bahasa
rasmi sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. – HARAKAHDAILY
Tiada ulasan:
Catat Ulasan