YB HAJI AHMAD AMZAD HASHIM
ISU TRANSGENDER yang berpakaian wanita ketika
menunaikan umrah menjadi heboh sehingga mendapat reaksi daripada ramai
pihak termasuk Menteri Agama dan Mufti Wilayah Persekutuan. Dalam hal
ini, saya konsisten menegaskan bahawa kita tidak sesekali boleh
berkompromi dan mengiktiraf amalan transgender di Malaysia.
Kes-kes yang diputuskan di Mahkamah mengenai permohonan mengubah jantina
di dalam kad pengenalan menunjukkan bahawa amalan transgender tidak
diiktiraf di Malaysia. Malangnya, Undang-undang Sivil dan Syariah yang
berkaitan dengan transgender pada masa ini amat lemah sekali.
Undang-undang yang ada hanyalah bagi kesalahan salah laku seksual bebas
dan luar tabi’ie, sama ada dalam Kanun Keseksaan ataupun Akta atau
Enakmen Jenayah Syariah negeri-negeri. Namun begitu, mengambil contoh
hukuman terhadap kesalahan seksual yang melibatkan golongan Lesbian di
Terengganu, Hakim Mahkamah Syariah terikat dengan had hukuman maksimum
yang sangat rendah.
Selain itu, perbuatan berpakaian secara
berlawanan jantina, perbuatan menukar jantina atau alat kelamin atau
perbuatan mempromosi budaya LGBT secara terbuka tidak dikategorikan di
bawah mana-mana kesalahan jenayah yang khusus oleh Undang-undang Sivil.
Jika ada sekalipun, hanyalah kesalahan berpakaian secara tidak senonoh
yang boleh mengganggu ketenteraman awam di bawah Seksyen 14 Akta
Kesalahan Kecil 1955. Walau bagaimanapun, hukuman yang boleh dikenakan
sangat kecil, iaitu denda tidak melebihi RM100.
Kesalahan
membabitkan amalan transgender juga sukar disabitkan di bawah Akta
Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana seksyen yang memperuntukkan
larangan terhadap pemberian kandungan jelik di Internet tidak
mengkhususkan perbuatan membabitkan Lesbian, Gay, Biseksual dan
Transgender (LGBT) sebagai satu kesalahan.
Oleh itu, saya
ingin mendesak kerajaan agar mengadakan satu kajian menyeluruh untuk
meminda semua undang-undang yang berkaitan bagi tujuan menjadikan
sebarang perbuatan yang melibatkan transgender sebagai satu kesalahan.
Agensi penguatkuasaan dan pendakwaan Syariah negeri-negeri juga digesa
memainkan peranan aktif bagi memastikan pelaku transgender yang berada
di bawah bidang kuasa negeri boleh diambil tindakan sewajarnya.
Sekian, terima kasih.
“Islam Memimpin Perpaduan”
YB HAJI AHMAD AMZAD HASHIM -Ahli Parlimen Kuala Terengganu
– HARAKAHDAILY
Tiada ulasan:
Catat Ulasan