KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi hari ini menolak permohonan kerajaan untuk lucuthak wang berjumlah kira-kira RM192.97 juta milik UMNO selepas memutuskan dana itu bukan daripada hasil yang diperoleh daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Hakim Mohamed Zaini Mazlan yang membuat keputusan itu berkata, tujuh cek berjumlah RM245 juta yang diterima daripada Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak telah dibelanjakan pada Pilihan Raya Umum ke-13 pada 2013.
Beliau berkata, wang yang diterima daripada Najib telah lama dibelanjakan dan jumlah wang yang dibekukan itu diperoleh daripada syarikat-syarikat dan sumber-sumber lain.
Berdasarkan alasan yang sama, Zaini turut menolak permohonan kerajaan untuk merampas wang sebanyak RM300,000 daripada Wanita MCA, Binsabi Sdn Bhd (RM777,250) dan Perano Sdn Bhd (RM337,734).
Zaini, bagaimanapun membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Mahadi Abdul Jumaat untuk membekukan wang itu sementara menunggu perbicaraan hari ini.
UMNO, dalam permohonannya menyatakan wang sebanyak RM212.97 juta telah dibelanjakan semasa pilihan raya umum lalu, dan melakukan aktiviti politik lain.
Parti itu adalah antara 41 entiti dan individu yang berdepan dengan saman pelucuthakan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk mendapatkan wang berjumlah RM270 juta yang dikaitkan dengan 1MDB.
Mahadi, yang dibantu oleh Timbalan Pendakwa Raya, Samihah Rhazali berkata, pihak pendakwaan akan memfailkan notis rayuannya dan kemudian permohonan rasmi pada Jumaat depan.
UMNO diwakili oleh Peguam Hariharan Tara Singh, Tania Scivetti dan Nur Fazreen Hazrina Rahim.
Manakala Wanita MCA pula diwakili oleh Ben Chan, manakala Perano oleh Vini Nayagam dan Habizan Habeeb Rahman.
Binsabi pula diwakili oleh Tengku Shazuan Tengku Shariffudin dan Muhammad Hasif Hasan.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah membekukan wang daripada empat entiti UMNO pada bulan Jun 2018 kerana mendakwa ia ada kaitan dengan skandal 1MDB.
Dalam kes UMNO, kerajaan telah membuat permohonan pada 18 Jun tahun lalu untuk merampas wang itu menjelang 12 bulan tarikh akhir bagi membolehkan wang itu terus dibekukan. – MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan