KUALA LUMPUR – “Adakah pengundian di Parlimen semasa Dr M dipilih sebagai PM oleh PH? Soal Pengerusi DAP Kelantan, Datuk Zaid Ibrahim dalam ciapan di laman Twitter.
Beliau kemudiannya meneruskan ciapan dengan menjawab: “Tidak.”
“Orang yang terdesak akan melakukan tindakan yang terdesak. Mereka tidak ada rasa malu?” katanya.
Dalam ciapan yang berasingan, Zaid turut mempersoalkan sama ada Tun Dr Mahathir Mohamad akan mengotakan janjinya untuk menyerahkan jawatan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Katanya, beliau percaya janji yang dibuat oleh perdana menteri itu ketika mengumumkan tarikh pengundurannya.
“Tidak perlu bimbang mengenai sokong di Parlimen. Jika Anwar tidak mendapat sokongan majoriti, maka pilihan raya umum prelu diadakan. Mudah.” katanya.
Beliau turut mengulas perkembangan terkini cadangan usul undi percaya terhadap Dr Mahathir yang bakal dibentangkan oleh Pas dalam sidang Dewan Rakyat bulan depan.
Menyifatkan usul tersebut sebagai memperbodohkan mereka yang berkenaan dan menjadikan demokrasi Malaysia sebagai bahan jenaka, Zaid berkata, UMNO menjadi hampas apabila mereka menyatakan sokongan terhadap usul yang tidak berguna itu.
Kelmarin Dr Mahathir dalam temuramah bersama The Malaya Post berkata, menjadi kelaziman mana-mana negara yang mengamalkan sistem demokrasi memerlukan seseorang yang ingin menjadi Perdana Menteri mendapat sokongan majoriti.
Ini kerana tanpa sokongan majoriti, pemimpin berkenaan tidak akan kekal lama.
“Jadi seseorang itu tidak cekap dalam mendapat sokongan ini dia tidak akan kekal, mungkin akan di tolak.
“Itulah sebabnya dalam demokrasi kita
perlu ambil kira perasaan orang ramai kerana mereka yang akan menentukan
nasib kita, dengan itu apabila kita memegang jawatan kita perlu
berjaga-jaga jangan buat sesuatu yang boleh menyakitkan majoriti.
“Ya mungkin ada pihak yang tidak pernah
puas hati tapi kalau mereka dalam majoriti kita masih dapat kekal diri,”
kata Dr. Mahathir.
Kepada soalan berkenaan transisi kuasa
yang bakal berlaku dan tindakan parti pembangkang yang menyatakan
sokongan terhadap beliau, Dr. Mahathir berkata:
“Kita berjanji dan kita pegang kepada
janji kalau pun saya nak mungkir janji saya cuma jadi PM kerana dapat
sokongan daripada parti saya terutamanya daripada majoriti ahli dewan
rakyat dengan itu saya dapat jadi PM.
“Kalau saya nak letak jawatan tetapi
majoriti dalam dewan rakyat tolak saya, saya jatuh. Itu cara demokrasi.
Yang sebenarnya ialah dewan rakyat, ahli-ahlinya, mereka boleh
menentukan saya terus jadi PM ataupun tidak.
“Kalau saya kata saya tak nak letak
jawatan tetapi mereka tidak sokong saya, saya jatuh. Saya tidak boleh
jadi PM sebab itu yang betul-betul berkuasa ialah parti, kalau parti itu
dapat majoriti tetapi kalau parti itupun tidak dapat sokongan majoriti
daripada ahli dewan rakyat saya tidak boleh jadi PM,” katanya.
Beliau turut menegaskan ini merupakan tanggungjawab ahli Dewan Rakyat dari parti majoriti mahupun parti pembangkang.
Pun begitu, Tun Dr. Mahathir mengingatkan
meskipun seseorang itu berada dalam lingkungan parti majoriti tetapi
apabila mencalonkan seseorang berkenaan dan ahli Dewan Rakyat menolak
hakikatnya seseorang itu tidak boleh menjadi Perdana Menteri.
Usul undi percaya terhadap Dr Mahathir dicadangkan oleh Pas berikutan pelbagai isu yang berkaitan timbul kebelakangan ini.
Menurut Timbalan Presiden Pas, Tuan
Ibrahim Tuan Man untuk melihat sejauh mana ia mendapat sokongan dalam
kalangan ahli-ahli Parlimen.– MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan