HARAKAHDAILY
BANDAR TUN RAZAK: Hanya PAS menjadi wadah yang boleh
dipercayai untuk menjamin keadilan dan mempertahankan hak kepada
masyarakat kaum bukan-Islam di negara ini atas dasar Islam yang menjadi
pegangan parti itu.
Ketua Penerangan Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP), Dr Balachandran
Gopal Krishnan berkata, dahulunya tidak mudah untuk masyarakat kaum
bukan-Islam mendekati PAS kerana merasakan Islam itu sendiri tidak
memberi hak yang sebenarnya.
“Tapi setelah mengkaji dan mencari keadilan, kita faham yang Islam adalah tempat kita mempertahankan hak sebagai non-Muslim. Dasar PAS adalah Islam dan Islam merupakan agama yang menuntut berlaku adil kepada semua manusia.
“Tidak kira bangsa mahupun agama, Islam suruh adil. Boleh rujuk ayat 8
surah al-Maidah,” katanya pada Ceramah Muafakat Nasional, di sini
kelmarin dahulu.
Jelasnya, antara sebab kaum bukan-Islam bersama PAS adalah kerana
Islam yang menjadi pegangan parti itu di mana Islam memberi solusi
kepada masalah negara termasuk berkaitan kepentingan penganut agama
lain.
Islam terangnya, juga mengiktiraf kepelbagaian bangsa dan
menggalakkan masyarakat untuk saling mengenali dan menghormati antara
satu sama lain, serta berhubungan demi kepentingan hidup bersama.
Sebaliknya Islam ujar beliau, tidak menjadikan bangsa sebagai akidah
atau asas perjuangan, selain paling penting bahawa tiada paksaan untuk
menganut Islam walaupun berada di basah kepimpinan Islam.
“Yang ada hanyalah ajakan berbuat baik dan meninggalkan kejahatan
yang juga menjadi asas agama-agama di dunia. Penting untuk kita faham,
Muafakat Nasional yang dibawa juga asasnya Islam.
“Bila kita menegakkan Islam, kebatilan akan jatuh dengan sendirinya.
Muafakat Nasional adalah tugas yang Tuhan beri untuk kita bersama dengan
parti berbeza menjadi flowers of the garden dan memberi kebaikan kepada negara,” ujarnya.
Beliau yang lebih dikenali dengan panggilan Dr Bala mengakui bahawa
kefahamannya kepada Islam menyebabkan beliau bersama PAS sejak 15 tahun
lalu. – HARAKAHDAILY
Tiada ulasan:
Catat Ulasan