Jumaat, 7 Februari 2020

Doktor beri amaran awal wabak koronavirus meninggal dunia

MALAYSIAKINI




Salah seorang doktor paling awal yang memberi amaran berkenaan penemuan koronavirus baru di Wuhan, dan ditegur pihak berkuasa kerana berbuat demikian, meninggal dunia awal pagi tadi.

Li Wenliang, pakar mata berusia 34 tahun, meninggal dunia pada awal pagi tadi, menurut Wuhan Central Hospital seperti dilapor CNN.

"Pakar mata hospital kami, Li Wenliang dijangkiti koronavirus ketika berusaha melawan epidemik itu.

"Dia meninggal dunia pada jam 2.58 pagi (waktu tempatan) 7 Februari selepas usaha untuk menyedarkannya tidak berjaya," kata hospital itu dalam kenyataan.

Menurut laporan sebelum ini, pada 30 Disember Li dan tujuh lagi doktor memberi peringatan kepada doktor lain di media sosial berkenaan tujuh kes "virus baru misteri" yang mirip Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS) pada 2003.

Empat hari kemudian, dia didatangi pegawai Biro Keselamatan Awam yang memintanya menandatangani satu surat. Antara kandungan surat itu ialah dia didakwa “membuat kenyataan palsu” yang “mengganggu keamanan sosial dengan teruk”.




Seminggu kemudian, Li merawak seorang wanita yang mengalami glaukoma (penyakit mata), tanpa mengetahui pesakit itu telah dijangkiti koronavirus.

Menurutnya di laman media sosial Weibo, dia kemudian mula batuk-batuk daan demam dan dimasukkan ke hospital pada 12 Januari.

Akhir bulan lalu, Dr Li memuat naik salinan surat yang ditandanganinya itu di Weibo, menjelaskan apa yang terjadi.

Dia juga menggambarkan kecuaian tindak balas pihak berkuasa tempatan di Wuhan ketika tempoh awal virus itu tercetus.

Pihak berkuasa tempatan dilaporkan telah memohon maaf kepadanya.

Menurut Reuters, jumlah kematian akibat virus itu setakat ini melebihi 600, dengan 30,000 kes dilaporkan di China.

Pada 31 Januari, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengumumkan koronavirus sebagai darurat antarabangsa.


Tiada ulasan: