Haji Aminuddin Yahaya
Menteri-menteri lain kena ambil iktibar, bertanggungjawab pada rakyat
SELURUH negara
terkejut dengan peletakkan jawatan YB Dr Maszlee Malik sebagai Menteri
Pendidikan walaupun banyak pihak sebelum ini yang menuntut beliau
meletakkan jawatan tetapi tidak berjaya.
Namun ketiadaan apa-apa indikator atau ‘hint’ menyebabkan rakyat terkejut terutama hari ini adalah hari pertama persekolahan.
Kita tidak tahu apa yang berlaku di
belakang tabir tetapi peletakan ini menimbulkan pelbagai spekulasi
termasuklah adakah ianya hasil desakan pihak tertentu yang tidak
mendapat apa yang diingini dan sebagainya.
Saya yakin Tun Dr Mahathir Mohamad
bukanlah seorang yang mudah menerima desakan mana-mana pihak apatah lagi
ia membabitkan ahli partinya sendiri.
Dalam masa yang sama, Dr Mahathir juga
mungkin tertekan dengan pelbagai isu yang dikaitkan dengan Kementerian
Pendidikan Malaysia (KPM); dari kasut hitam, UEC hinggalah ke tulisan
jawi.
Saya percaya pelbagai kritikan dari rakyat pelbagai lapisan
mempengaruhi pandangan dan keputusan Dr Mahathir ini juga.
Tanpa menafikan kebaikan-kebaikan yang
dilakukan oleh YB Dr Maszlee, namun kita harus menerima hakikat bahawa
beliau kerap kali dilihat seolah-olah ‘didominasi’ oleh timbalannya
terutama yang berkenaan dengan UEC. Ini membimbangkan ramai pihak
terutamanya orang-orang Melayu.
Dari kenyataan beliau, jelas peletakan
jawatannya itu dibuat bukan dengan kerelaannya sendiri tetapi di minta
oleh Dr Mahathir sendiri.
Apakah alasan Tun? Tidak ada sesiapa yang
tahu. Namun saya yakin ia bukan sesuatu perkara yang mudah kerana Dr
Maszlee adalah dari parti Bersatu. Apakah Dr Mahathir berani menggunakan
alasan yang sama untuk memecat pula menteri-menteri dari DAP atau
mana-mana parti komponen Pakatan Haapan (PH) yang lain untuk letak
jawatan juga?
Siapakah yg akan menggantikan Dr Maszlee? Sejarah membuktikan tidak ada sesiapa yang boleh membaca ‘GAME’ Dr Mahathir.
Apa-apa pun, saya yakin Dr Maszlee tidak
akan dibiarkan tergapai-gapai begitu saja tetapi pasti akan ada
‘imbuhan’ akan diberikan. Mungkin menjadi VC (Naib Canselor) di
mana-mana universiti? Saya tidak bercadang untuk membuat apa-apa
spekulasi.
Moga apa yang berlaku kepada Dr Maszlee
menjadi pengajaran kepada menteri-menteri lain supaya tidak melihat
jawatan sebagai ‘hadiah’ tetapi tanggungjawab kpd rakyat dan negara.
Moga Allah SWT memberikan kesabaran
kepada Dr Maszlee dan kembali menjadi wakil rakyat biasa dengan penuh
ketenangan. Insya-Allah.
*Haji Aminuddin Yahaya - Presiden ISMA / Pengerusi PEMBELA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan