Sabtu, 11 Januari 2020

‘PAS tak diterima di Sabah’: PAN diterima sangatkah?

DR KAMARUL ZAMAN HAJI YUSOFF



TERBACA kenyataan Ketua Angkatan Wanita PAN Negara (AWAN), Senator Aiman Athirah Al Jundi atau nama sebenarnya Raj Munni Binti Sabu, hari ini yang menyebut:

(1)     Rakyat Sabah khususnya di Parlimen Kimanis tidak menerima kehadiran PAS di negeri itu.

(2)     Kedatangan PAS untuk membantu jentera BN berkempen di PRK Kimanis tidak dialu-alukan sama sekali.

(3)     Sebaliknya, PAS hanya akan mengganggu-gugat keharmonian masyarakat berbilang kaum di Sabah.

Segera saya teringat laporan Malaysia Kini bertajuk “PAN tak dapat kerusi, bidas Warisan secara berdepan” mengenai ucapan Pengerusi PAN Sabah, Hamzah Abdullah, dalam majlis pelancaran manifesto Pakatan Harapan peringkat Negeri Sabah pada 22 April 2018 berbunyi:

(1)     “Kalau rakan sama rata takkanlah PAN tak dapat kerusi langsung, takkan tak dapat dua kerusi, semua kena dapat.”

(2)     “Kalau PAN langsung tak diberikan kerusi, anda mempermain-mainkan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), anda tidak mengamalkan MA63.”

Akhirnya memang PAN tak dapat walau satu kerusi pun di Sabah, dengan Presiden Warisan, Datuk Seri Shafie  Apdal, berjanji pemimpin PAN (dan Bersatu) akan diberi jawatan lantikan lain sebagai tukaran kepada mereka tidak bertanding di Sabah.

Sangat tidak cantik untuk pemimpin PAN terus-terusan mengkritik PAS seolah-olah raison d’être PAN adalah untuk menghentam PAS semata-mata sedangkan negara ini negara demokrasi yang membenarkan setiap pihak berpolitik secara sihat dan matang.

Untuk tidak mengalu-alukan sama sekali kedatangan PAS atau mana-mana pihak sekalipun ke Sabah, termasuk melibatkan diri dalam PRK Kimanis, atas alasan bahawa PAS atau pihak-pihak itu tidak diterima oleh rakyat Sabah adalah satu perbuatan yang amat angkuh.

Lebih-lebih lagilah bila pihak yang menyuarakannya pun langsung tidak diberi sebarang kerusi untuk bertanding dalam PRU14 lalu seolah-olah kewujudannya langsung tidak bererti tetapi terus terhegeh-hegeh menonjolkan diri seolah-olah ia diterima oleh rakyat di sana.

Yang lebih afdhal dibuat oleh Senator Aiman Athirah ialah bertanya kepada Datuk Seri Shafie Apdal di mana janji beliau kepada pemimpin PAN (dan Bersatu) untuk memberi jawatan kepada mereka sebagai tukaran kepada mereka tidak bertanding di Sabah.

Boleh begitu? -  HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: