Ahad, 5 Januari 2020

Menteri Pendidikan baru mesti berani, tidak tunduk kepada DAP

Manzaidi Mohd Amin
shahrulfadzel
Shahrul Fadhel Mohd Aziz


KUALA LUMPUR – Pemuda UMNO Kelantan mahu Tun Dr. Mahathir Mohamad melantik seorang yang berkarakter tegas, berani dan tidak bacul untuk menerajui Kementerian Pendidikan yang dikosongkan Dr. Maszlee Malik, semalam.

Naib Ketuanya, Shahrul Fadhel Mohd Aziz berkata, ini penting bagi seseorang menteri baharu itu membuat keputusan tanpa tunduk kepada desakan mana-mana pihak berkepentingan.

“Kita mahu Perdana Menteri melantik individu yang kental dan tidak mudah tunduk kepada desakan nyamuk nakal dalam kerajaan serta golongan korporat yang berkepentingan.

“Menteri baharu juga tegas dan berani membuat keputusan mempertahan serta menyelamatkan sistem pendidikan negara dari dirosakkan oleh fahaman komunisme dan ultra liberal DAP,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Menurut Shahrul Fadhel, peletakan jawatan Dr. Maszlee semalam telah menjadi polemik dan hangat, lebih lagi dikaitkan dengan isu skandal 1BestariNet dan pemilihan dalam kepimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Mac ini.

Katanya, Ahli Parlimen Simpang Renggam itu juga tidak terkecuali daripada isu dasar pendidikan yang dikatakan gagal dilaksanakan beliau sepanjang memimpin kementerian itu selama 20 bulan.

“Jika tanya orang ramai mengenai menteri ini, ada dua jawapan yang kita terima. Pertama, “Menteri kasut hitam”, kedua, “Menteri tidak mampu kawal timbalannya”.

“Isu pengajaran Jawi juga mendapat tentangan dari kebanyakan sekutunya dan amat menyedihkan Dr. Maszlee dilihat keseorangan tanpa mendapat pembelaan dari rakan PBBM,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, yang penting Pemuda UMNO Kelantan mahukan penggantinya seorang yang tegas dan berani. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: