Jumaat, 24 Januari 2020

Kuota haji naik tak pelik, jumlah penduduk pun bertambah

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar

 

Tugas utama kerajaan untuk bantu rakyat tunaikan rukun Islam kelima

BANGI – Pengumuman kenaikan kuota haji oleh Kerajaan Arab Saudi baru-baru ini bukan satu perkara yang pelik, sebaliknya selari dengan pertambahan bilangan penduduk, kata Presiden gerakan Islam utama, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Haji Aminuddin Yahaya.

Justeru kata beliau, tidak ada satu perkara yang perlu dibanggakan sebagai pencapaian jika kuota ditambah kepada 31,600 berbanding 30,200 jemaah pada tahun lalu.

Haji Aminuddin yang juga Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) menegaskan, isu paling penting adalah tindakan kerajaan melalui Lembaga Tabung Haji (TH) menunaikan tanggungjawab sosial kepada rakyat bagi memudahkan urusan mereka untuk mengerjakan rukun Islam kelima itu.

“Konsep istito’ah yang diwar-warkan adalah satu yang difahami sejak dahulu lagi. Sesiapa yang tidak mampu, tidak wajib menunaikan ibadah haji.

“Namun, kita harap konsep ini tidak menjadi alasan kerajaan untuk tidak membantu rakyat,” katanya ketika dihubungi Ismaweb hari ini.

Rabu lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, penambahan kuota seramai 1,400 orang adalah hasil rundingan Kerajaan Malaysia, khususnya melalui TH, dengan Kerajaan Arab Saudi.

Beliau berkata, rundingan itu bertujuan mempertimbangkan kenaikan jumlah kuota terbabit seiring peningkatan populasi penduduk negara ini.

“Kita diberi kuota 30,200 jemaah berpandukan 0.01 peratus penduduk yang diambil daripada populasi tidak dikemas kini (iaitu 30 juta). Namun mengikut versi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 2017, penduduk Malaysia sudah meningkat kepada 31,600,000.

“… kerana keputusan OIC (Pertubuhan Kerjasama Islam) yang menyatakan setiap negara mendapat (kuota haji) 0.01 peratus daripada populasi penduduk, maka kita memaklumkan peningkatan mengikut statistik (PBB) terbaru itu,” katanya.


Tiada ulasan: