Ahli
Parlimen Kimanis, Datuk Mohamad Alamin (dua kiri) beramah mesra dan
mengucapkan terima kasih kepada peniaga dan penduduk pada hari pertama
sebagai Ahli Parlimen Kimanis selepas menang Pilihan Raya Kecil (PRK)
P.176 Kimanis di Pasar Tamu Pekan Membakut, Kimanis, Sabah. foto FAREEZ
FADZIL ( Gambar hiasan )
Walaupun
banyak sebab yang menjadi punca kekalahan calon Warisan, sekutu PH
dalam PRK Parlimen Kimanis, tetapi tidak dapat dinafikan salah satu
puncanya ialah ketidakpuasan hati rakyat terhadap prestasi kerajaan
pimpinan Tun Mahathir Mohamad.
Jika
sebelum ini PH kalah di Cameron Highlands, Semenyih, Rantau dan Tanjung
Piai, kekalahan di Kimanis ini membuktikan perasaan tidak puas hati
rakyat sudah mula merebak ke Sabah.
Meskipun dalam PRU14 lalu,
Kimanis dimenangi oleh BN melalui Anifah Aman dan kini dikekalkan lagi
oleh BN melalui Mohamad Alamin, tetapi undi majoriti adalah perkiraan
utama yang harus difikirkan.
Dulu Anifah menang hanya dengan 156
undi dan kini Mohamad Alamin memenanginya dengan 2,029 undi, suatu
pertambahan undi yang sangat besar dalam keadaan Warisan sudah menjadi
kerajaan di peringkat negeri dan PH menjadi kerajaan di Pusat.
Sekaligus
ini membuktikan kemasukan beramai-ramai bekas pemimpin-pemimpin UMNO ke
dalam Bersatu selepas PRU14 lalu yang melibatkan 16 Adun, 6 Ahli
Parlimen, 2 senator dan 22 Ketua UMNO Bahagian tidak menyumbang apa-apa
kepada kekuatan PH dan Warisan di Sabah.
Bersatu jelas tidak
berkesan dan tidak berfungsi di Sabah kerana ketidakpercayaan rakyat
terhadap parti itu dan Tun Mahathir yang mengetuai kerajaan di peringkat
Persekutuan.
Banyak sebab yang mendorong ketidakpuasan hati
rakyat kepada kerajaan Pusat, antaranya berkaitan janji manifesto,
mengembalikan hak-hak Sabah yang tidak ditunaikan, sikap berdolak-dalik
Perdana Menteri dalam banyak perkara, kecenderungan kembali kepada
perangai PM4 dan kegagalan bersikap jujur serta ikhlas berkaitan
peralihan kuasa kepada Anwar Ibrahim.
Memang diakui semua isu
tersebut lebih berkembang di Semenanjung, tetapi dengan dunia terbuka
media sosial ketika ini, kesannya dengan mudah merebak hingga ke Sabah.
Lantaran
itu, PH harus bertindak segera dan drastik untuk mengembalikan semula
sokongan rakyat, bukan saja di Sabah, bahkan juga di seluruh Malaysia.
Kimanis adalah isyarat penolakan yang nyata kepada PH dan kepimpinan Tun Mahathir.
Di
Sabah, mungkin banyak perkara dan isu perlu diperbaiki oleh kerajaan
negeri yang dipimpin oleh Shafie Apdal seperti Pas Sementara Sabah atau
PSS dan lain-lainnya.
Namun, perubahan di peringkat Pusat jauh lebih penting demi untuk merangsang sama perubahan di Sabah.
Yang
paling nyata, dengan kekalahan besar di Kimanis dan 4 PRK sebelum ini,
isyarat yang paling mudah untuk difahami ialah kedudukan Tun Mahathir
sebagai Perdana Menteri tidak lagi popular di hati rakyat.
Sementara
nama penggantinya sudah ada dan tempoh dua tahun beliau menjadi Perdana
Menteri juga hampir tiba, Tun Mahathir tidak perlu berfikir panjang
lagi untuk menyelamatkan masa depan PH dalam PRU15 akan datang.
Walaupun
berundurnya Tun Mahathir dan beradanya Anwar sebagai Perdana Menteri
baru belum tentu dapat menjamin PH akan gemilang dan mampu menang PRU15,
tetapi jika tidak berlaku penggantian, memang boleh dijamin PH hanya
akan jadi kerajaan sepenggal saja.
Selagi Tun Mahathir berada di kerusi Perdana Menteri, sokongan rakyat akan terus merosot dan merosot tanpa henti.
Kini,
terserah kepada Tun Mahathir dan adalah masa terbaik untuknya bertindak
dengan sebaik-baiknya tidak perlu menunggu sehingga Mei akan datang
untuk berundur atau sampai Majlis Presiden PH menetapkan tarikh
pengundurannya.
Tun Mahathir sudah tidak ada pilihan lain lagi
melainkan perlu menetapkan peralihan kuasa dalam waktu terdekat ini dan
jika itu dapat direalisasikannya, selain PH akan lebih selamat, malah
kenegarawanannya juga akan terus terpelihara.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan